Pengganas Christchurch kemuka rayuan sabitan, hukuman


Dalam kejadian pada 15 Mac 2019 itu seramai 51 orang terbunuh apabila seorang pengganas Brenton Tarrant menyerang dua masjid Christchurch, New Zealand. – Gambar AFP, 8 November 2022.

PENGGANAS yang menyerang jemaah di dua masjid Christchurch, New Zealand pada 2019 mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara seumur hidup.

Brenton Tarrant membunuh 51 orang pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di South Island kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan keganasan, lapor Xinhua.

Lelaki itu dijatuhkan hukuman pada Ogos 2020 selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Rayuan itu difailkan pada Khamis dan mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu, kata jurucakap Mahkamah Rayuan pada Selasa.

Tarrant dipenjarakan dengan “kawalan maksimum” di Auckland, menurut media tempatan.

New Zealand mengetatkan peraturan senjata api dan mengharamkan senjata separa automatik gaya tentera susulan serangan pengganas itu. – Bernama, 8 November 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen