Perikatan Ketahanan Kemarau Antarabangsa dilancarkan di COP27


Perikatan Ketahanan Kemarau Antarabangsa sempena COP27 diasaskan oleh Senegal dan Sepanyol sebagai penyelesaian khusus PBB terhadap kesan perubahan iklim. – Gambar Facebook, 8 November, 2022.

PEMIMPIN dari hampir 50 negara dan organisasi global pada Isnin melancarkan Perikatan Ketahanan Kemarau Antarabangsa sempena COP27 yang sedang berlangsung demi membantu pelbagai negara siap siaga menghadapi kemarau pada masa hadapan, lapor Xinhua.

Diasaskan oleh Senegal dan Sepanyol, pakatan itu ditubuhkan sebagai penyelesaian khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap kesan perubahan iklim, menurut Perikatan itu dalam satu kenyataan.

“Misi perikatan itu adalah untuk memberi dorongan politik agar tanah mampu berdaya tahan terhadap kemarau dan perubahan iklim,” menurut Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez bersama Presiden Senegal Macky Sall pada Isnin.

“Kemarau adalah ancaman semula jadi tetapi tidak semestinya membawa bencana kepada manusia.

“Penyelesaiannya sudah tersedia, dan kita boleh mencipta dunia yang tahan kemarau dengan meningkatkan cita-cita, memanfaatkan kehendak politik, dan bergabung tenaga,” kata Ibrahim Thiaw, setiausaha eksekutif Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan.

Perikatan itu akan disokong oleh komitmen politik baharu, termasuk dana permulaan berjumlah €5 juta (AS$5.01 juta) yang diumumkan oleh Sepanyol bagi menyokong tugas dan memangkin proses menggerakkan lebih banyak sumber untuk menjayakan agenda ini, menurut kenyataan itu.

Perikatan menyeru pemimpin dunia menjadikan ketahanan terhadap kemarau sebagai keutamaan dalam pembangunan dan kerjasama antara negara, serta memperkukuh penglibatan dengan pihak berkepentingan termasuk sektor swasta.

Antara objektif utama Perikatan ialah menggalakkan penyatuan inisiatif serantau bagi mempercepat perkongsian inovasi, pemindahan teknologi dan mengerah sumber.

Perikatan itu juga akan bekerjasama dengan platform lain, termasuk inisiatif yang dilancarkan oleh setiausaha agung PBB dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia untuk mencapai liputan sejagat sistem amaran awal dan inisiatif serantau demi meraih faedah berkolaborasi bersama dalam daya tahan kemarau. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen