Kempen PRU15 pertembungan logo, bukan ego


Jahabar Sadiq

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman turut hadir memberi ceramah semasa kempen di Tanjung Karang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

KHEMAH yang terlindung dengan deretan bendera mula dipenuhi orang ramai sewaktu ucapan bermula di acara disebut ceramah mega di Tanjung Karang malam tadi.

Kalangan hadirin itu antaranya terdiri dari golongan tua berseluar pendek, ada yang memakai kain pelikat dan golongan muda dengan jeans manakala golongan wanita sama ada berbaju kurung dan bertudung atau berbaju T dengan seluar.

Kebanyakannya memakai pelitup muka yang mengingatkan negara masih diselubungi pandemik.

Hanya 200 kerusi disusun di hadapan beberapa pembesar suara. Suasana ini jauh berbeza dengan acara dihadiri ribuan orang yang mahu mendengar rencana menukar kerajaan pada 2018.

Pada waktu itu, pemidang besar yang tertera gambar Najib Razak atau Dr Mahathir Mohamad dapat dilihat di mana-mana dan poster calon – baharu atau lama – memenuhi ruangan.

Najib kini dipenjara, Dr Mahathir masih bertahan pada usia 97 tahun di kerusi Langkawi untuk perjuangan politiknya yang belum selesai.

Di Tanjung Karang, seorang guru bernama Siti Rahayu Baharin atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Rahayu dari Muda mahu menentang orang kuat Umno Noh Omar, tapi penyandang kerusi itu digugurkan selepas enam penggal.

Pekan kecil dengan kampung nelayan, kebun kelapa sawit dan bendang padi itu menyaksikan pertarungan lima penjuru bagi merebut sokongan 62,194 pengundi, dan Cikgu Rahayu salah satu darinya.

Tiada poster dengan gambar beliau atau pencabar lain dapat dilihat di sepanjang jalan menuju ke pekan Tanjung Karang. Hanya bendera parti.

Pegawai kempennya berkata dana terhad tetapi lebih penting lagi, logo tersebut untuk mengingatkan pengundi untuk memilih beliau di antara calon lain pada hari pengundian 19 November.

Apa pun, Cikgu Rahayu mula berkempen sejak selepas Parlimen dibubarkan pada awal Oktober memandangkan ia salah satu dari enam kerusi persekutuan ditandingi Muda bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Seluruh pasukan Muda Selangor bekerja keras dalam kempen pertama di negeri paling kaya di Malaysia itu.

Pakatan Harapan mempromosi calon Muda Cikgu Rahayu di Tanjung Karang pada PRU15 demi pendidikan lebih baik. – Gambar The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

Kebanyakannya warga urban yang meninggalkan dunia TikTok untuk bertemu pengundi yang sudah biasa dengan Noh, orang tempatan di situ sejak 1995 sewaktu Cikgu Rahayu masih di sekolah.

Mereka memerlukan ceramah untuk menyampaikan mesej di satu-satunya kerusi ditandingi di Selangor, dan ini bermakna Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman perlu hadir bersama pemimpin lain.

Mereka perlu menyokong Cikgu Rahayu yang biasa mendidik golongan tak berumah dan juga kanak-kanak pelarian berbanding berceramah di hadapan orang dewasa.

Beberapa ucapan mendahului di pentas ceramah terletak hanya satu kilometer dari hospital daerah baharu yang disiapkan sewaktu pentadbiran PH dari 2018 hingga 2020.

Antaranya, penyandang kerusi Segambut Hannah Yeoh yang mengenali Cikgu Rahayu sewaktu menjadi timbalan menteri.

Isi utama keseluruhan ceramah itu disimpulkan Syed Saddiq yang menyebut isu pendidikan dan ekonomi.

Anak didik Dr Mahathir itu yang bercakap laju dan sedikit pelat menyentuh isu semasa dengan bahasa mudah dan menyeru Cikgu Rahayu dipilih ke Parlimen.

Rakyat Malaysia memerlukan pendidikan lebih baik, katanya. Ibu bapa mereka memerlukan pendapatan lebih baik, tambahnya.

Dan hanya kerajaan PH mampu melakukannya untuk Malaysia, kata Syed Saddiq.

Pengundi di Tanjung Karang dan di kawasan lain di Malaysia perlu mengambil kira perkara ini untuk tempoh 11 hari akan datang sebelum memilih wakil mereka untuk lima tahun akan datang. – 8 November, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen