PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida berkata beliau merancang melawat tiga negara Asia Tenggara mulai akhir minggu ini untuk menghadiri mesyuarat antarabangsa.
Dalam jelajah Asia Tenggara bermula Jumaat, Kishida dijadual menyertai mesyuarat berkaitan Asean di Kemboja, sidang kemuncak Kumpulan 20 ekonomi utama di Indonesia dan mesyuarat forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Thailand, lapor Kyodo News .
Menjelang mesyuarat berkenaan, perdana menteri merancang mengadakan rundingan dua hala dengan pemimpin Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan isu global seperti pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta jaminan makanan dan tenaga.
Kishida dijadual mengadakan pertemuan tiga hala dengan Presiden AS Joe Biden dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol di tengah-tengah ketegangan yang meningkat membabitkan Korea Utara.
Selain itu, Kishida juga mungkin mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping, yang memulakan penggal lima tahun ketiganya sebagai setiausaha agung Parti Komunis China (PKC). – Bernama, 8 November, 2022.
Komen