Ekonomi Indonesia berkembang pada Q3 hasil peningkatan eksport komoditi


Ekonomi Indonesia berkembang 5.72% tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini, disokong peningkatan eksport komoditi tertentu. – Gambar AFP, 8 November, 2022.

EKONOMI Indonesia berkembang 5.72% tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini, disokong peningkatan eksport komoditi tertentu, lapor Xinhua memetik Perangkaan Indonesia (BPS).

Ketua BPS Margo Yuwono berkata angka itu lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi suku kedua sebanyak 5.44% dan melepasi 3.51% bagi tempoh Julai-September tahun lepas.

“Ini menunjukkan ekonomi Indonesia pulih secara berterusan dan ekonomi juga semakin kukuh,” kata Yuwono pada sidang media secara maya.

Imbangan perdagangan Indonesia meningkat 12.58% tahun ke tahun pada suku ketiga disumbangkan peningkatan eksport beberapa komoditi, termasuk arang batu, minyak sawit dan keluli.

Perbelanjaan yang lebih besar untuk program perlindungan sosial di tengah-tengah kenaikan harga global juga berjaya mengekalkan kuasa beli rakyat Indonesia, kata Yuwono.

Pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga itu juga sejajar dengan unjuran kerajaan 5.7% dan 5.5% unjuran oleh bank pusat. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen