Siti Kasim mahu bawa perjuangan rakyat ke peringkat persekutuan


Noel Achariam

Peguam yang juga aktivis Siti Kasim berkata antara sebab lain memilih kerusi Batu ialah beliau tinggal di kawasan itu dan ingin membawa suara rakyat ke Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 November, 2022.

TUJUAN peguam yang juga aktivis Siti Kasim terjun ke dunia politik adalah untuk membawa perjuangannya untuk rakyat ke peringkat kebangsaan menerusi kemenangannya di kerusi Batu.

Niat utamanya bertanding ialah supaya beliau boleh membangkitkan semua isu yang selama ini diperjuangkannya.

Isu yang akan dibangkitkan termasuklah berkaitan Orang Asli, diskriminasi terhadap minoriti, pendakwaan terhadap masyarakat LGBTQ, kebebasan beragama dan banyak lagi.

“Saya hendak bercakap (di Parlimen)…tentang kebimbangan sebenar masyarakat. Ada banyak isu yang perlu dibangkitkan,” katanya.

Siti berkata alasannya untuk bertanding di Batu ialah kerana beliau tinggal berhampiran kawasan itu.

“Kenapa pegi ke tempat lain yang sukar untuk saya berikan perkhidmatan?

“Saya berada di Batu sejak 10 tahun lalu. Masyarakat kenal saya. Saya terkejut kerana menerima banyak sokongan positif ketika saya turun padang. Ia sungguh menyentuh hati saya.

“Ini kerana rakyat tahu apa yang saya buat selama ini, iaitu memperjuangkan nasib golongan tertindas.”

Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru dengan empat calon bebas pada PRU15.

Selain penyandang ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan bekas wakil rakyat dua penggal kawasan itu Chua Tian Chang, calon lain ialah A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional), Azhar Yahya (Perikatan Nasional), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Calon bebas termasuk Siti, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan aktivis sosial Too Cheng Huat.

Responsnya kepada pertandingan 10 penjuru, Siti berkata beliau tidak rasa seperti underdog dalam menentang Prabakaran atau Chua, atau pun beliau menggap ia satu pertandingan.

“Saya tidak rasa apa-apa dalam melawan calon yang heavyweight kerana saya ada rekod pencapaian saya dalam memperjuangkan rakyat. Jadi saya tidak risau.

“Bagi saya penduduk Batu dapat menghakimi sendiri siapa yang ada rekod terbaik, siapa yang berjuang untuk rakyat.

“Rakyat perlukan seseorang yang boleh berjuang dan bercakap untuk mereka. Saya percaya saya orangnya untuk mereka.”

Siti berkata rakyat tahu apa yang beliau lakukan sebagai peguam dan aktivis, misalnya bercakap mengenai hal agama, hudud dan isu lain yang dianggap ahli politik lain sebagai perkara sensitif. – 8 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen