BN akan rombak sistem pendidikan, perkenal sekolah digital, umum Zahid


Noor Azam Shairi

Barisan Nasional menjanjikan rombakan sistem pendidikan daripada peringkat awal sehingga ke universiti dan ia akan dijadikan sebagai sistem universal untuk semua di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2022.

BARISAN Nasional berjanji merombak sistem pendidikan Malaysia dari peringkat awal bagi kanak-kanak bawah enam tahun sampailah ke universiti, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, mengumum tawaran gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Antara tawaran BN ialah pendidikan awal dan asuhan percuma, tambahan kepada sistem sekolah rendah dan menengah percuma sedia ada, yang akan mengurangkan kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak.

“Ia tidak lagi bersifat serpihan-serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa.

“Sebaliknya, ia akan diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara,” katanya, melancarkan manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia, atau singkatnya Padu.

Bagi sekolah rendah dan menengah pula, Ahmad Zahid berkata BN menawarkan cadangan sistem persekolahan tanpa buku teks, yang menggantikan buku dengan komputer riba.

Sistem itu akan dilaksanakan dengan pemberian komputer riba percuma kepada semua pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau B40 dan kemudahan liputan internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

“Perkara ini akan membantu menyelesaikan isu-isu seperti beg sekolah yang berat serta membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas dan mudah,” jelas Ahmad Zahid.

Bagi peringkat pengajian tinggi pula, BN menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak keluarga B40.

“Ini adalah sebahagian usaha serius kita untuk membasmi kemiskinan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang,” katanya.

Sistem pengajian di universiti pula akan dirombak menjadi separuh pengajian di kampus dan separuh dalam talian, yang akan mengurangkan kos pengajian.

Ahmad Zahid juga mengumumkan pelan kerajaan BN nanti, jika mendapat mandat rakyat, untuk mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan amali dan program sangkutan.

“Perkara-perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik, malah senjata ampuh dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup,” katanya.

Malaysia akan memilih sebuah kerajaan baharu dengan mandat sehingga 2027 pada 19 November. – 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen