BN tawar Padu untuk rakyat Malaysia


Noor Azam Shairi

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan manifesto gabungan itu untuk PRU15, pada malam ini. – Gambar tangkap layar Facebook, 7 November, 2022.

BARISAN Nasional (BN) mahu menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada isu rakyat yang mendesak, antaranya kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia juga mahu memperkenalkan beberapa “perubahan struktural dan radikal”, merangkumi pendidikan awal, sekolah dan pengajian tinggi, serta penjagaan warga emas dan semua golongan.

Pelan itu diberi nama Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia, atau singkatnya Padu.

“Padu adalah tawaran baharu yang segar atau ‘a new and fresh deal’ daripada BN kepada rakyat Malaysia,” katanya, melancarkan manifesto itu yang disiarkan melalui Facebook, malam ini.

Pelan itu akan dilakukan dengan dua strategi iaitu mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat, dan kedua, menguruskan negara menjadi sejahtera dan makmur.

Padu menggariskan 99 “amal dan usaha BN” yang akan memandu kerajaan mengangkat Malaysia jadi maju, kata Ahmad Zahid.

“Padu bukan janji-janji manis dan indah. Padu bukan tentang segala-galanya percuma.

“Padu bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi,” katanya.

Beliau menyifatkan Padu sebuah pelan yang serius dan rasional, yang mempunyai sasaran jelas untuk manfaat semua.

Bantuan pendapatan

Melalui Padu, BN mahu merombak sistem agihan bantuan dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas, yang memberi secara automatik bantuan kewangan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,208 sebulan.

Ahmad Zahid menyifatkan pelan itu “jalan paling adil, munasabah dan strategik” untuk membasmi kemiskinan.

“Selepas ini, insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia,” katanya.

Kerajaan BN nanti juga, kata Zahid, mahu memberi potongan cukai pendapatan 2% kepada kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000 atau golongan M40 untuk menambah kuasa beli dan mengurangkan beban kewangan mereka.

Warga emas

Bagi warga emas pula, BN mahu menggubal suatu undang-undang khusus berkenaan penjagaan warga emas serta mengukuhkan peranan pertubuhan masyarakat yang mengendalikan pusat penjagaan mereka termasuk orang kurang upaya.

“Semua ini adalah pembaharuan struktural yang kita perlukan untuk melonjak Malaysia menjadi negara yang meletakkan kesejahteraan dan keadilan sosial pelbagai kumpulan masyarakat pada tahap terbaik dan selayaknya,” katanya.

BN juga mencadangkan penubuhan dua tribunal khas bagi menangani isu kesaksamaan gender dan gangguan seksual.

BN mengumumkan manifestonya sehari selepas Perikatan Nasional berbuat demikian semalam. Satu lagi gabungan utama Pakatan Harapan mengumumkan manifestonya minggu lalu.

Rakyat Malaysia akan memilih kerajaan baharu untuk mandat lima tahun sehingga 2027 pada 19 November. – 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen