BAGAIMANA ditanam, begitulah dituai. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Peribahasa yang mewakili genius akal orang Melayu ini menggambarkan betapa tindak tanduk induk bakal diwarisi oleh sang anak dan generasi seterusnya.
-2.jpg)
Sekiranya peribahasa ini dipadankan dengan cara kerja pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya melihat awan mendung berat menyelubungi masa depan politik negara.
Tema manifesto “Kestabilan dan Kemakmuran” yang dicanang kedengaran begitu gah dan hebat, namun adakah ia realistik apabila pucuk pimpinan parti sendiri tidak telus dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran parti.
Logiknya, bagaimana jentera hendak dikerahkan untuk bekerja apabila calon yang diletakkan tidak mendapat restu daripada akar umbi?
Ia tidak mustahil, namun output yang diperoleh tentunya tidak 100% efisien berbanding dengan sinergi yang terjana apabila calon yang dipilih mendapat sokongan penuh anggota bahagian.
Memetik pernyataan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, beliau menggariskan tiga prinsip utama yang dijadikan panduan dalam pemilihan calon, iaitu kesetiaan, perkhidmatan dan muafakat.
Mereka juga antara kalangan yang mempunyai kelayakan akademik dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran, membabitkan gandingan muka baharu dan yang lebih senior serta berpengalaman.
Teka-teki siapa yang akan mewakili BN dalam PRU15 terjawab sudah. Banyak kejutan yang berlaku; ada yang mengundang reaksi positif, tidak kurang juga yang bernada negatif.
Secara harafiah dan jika dibaca bulat-bulat tanpa kanta pembesar, kita boleh menyimpulkan para calon tersebut menepati tiga kriteria utama presiden parti.
Namun, apabila dibelek, ditenung, direnung dan diperhalusi senarai nama berkenaan, banyak tanda soal mula mercup di cepu kepala.
Sejujurnya, saya tidak begitu terkesan dengan pengguguran warlord yang sekian lama berkhidmat untuk parti seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa, namun saya mempersoalkan mengapa dan atas dasar apa panglima-panglima yang cemerlang seperti Zahidi Zainol Abidin, Halimah Sadique, Ahmad Nazlan dan ramai lagi yang saya yakin boleh menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran parti dan parlimen yang diwakili oleh mereka digugurkan?
Zahidi begitu lantang dalam membela Telekom Malaysia yang seolah-olah dianaktirikan oleh KKMM. Beliau juga antara yang pertama mengkritik monopoli Digital Nasional Berhad dalam projek rangkaian 5G.
Jika benar mereka ini digugurkan bagi memberi laluan mudah kepada pemimpin muda, mengapa Khairy Jamaluddin tidak dihantar ke kawasan mudah menang ini?
Bukankah lebih selamat jika Khairy dihantar ke Jasin atau Padang Besar berbanding Sungai Buloh?
Saya pasti orang-orang Gerik juga lebih menerima Khairy daripada Asyraf Wajdi Dusuki.
Tanda tanya paling besar yang tidak boleh saya elak tentunya menyangkut paut kawasan saya sendiri, iaitu P035 Kuala Nerus.
Walaupun angin bertiup kencang sebelum ini tentang sosok yang bakal mewakili Kuala Nerus, namun saya mengunci mulut dan mengikat tangan sebelum pengumuman rasmi daripada presiden kerana mahu memberi beliau the benefit of the doubt.
Malangnya, jangkaan saya tepat. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, presiden menjual kawasan saya kepada seorang ahli seumur hidup PAS yang dipecat, kerana mengingkari arahan presiden dan partinya.
Berbalik kepada tiga kriteria utama yang digagaskan oleh presiden parti dalam pemilihan calon BN kali ini, dari sudut apakah beliau diangkat sebagai calon?
Apakah pertimbangan yang dibuat oleh “majlis pemilihan calon”, jika majlis tersebut benar-benar wujud.
Masakan tiada seorang pun dalam barisan kepimpinan Umno bahagian atau profesional muda dalam parti yang layak untuk dipilih, sebaliknya ditolak mentah-mentah demi memberi laluan kepada ahli seumur hidup PAS ini?
Buah kepayang ditelan pahit dibuang sayang, begitulah kami di Kuala Nerus terikat dengan keputusan tidak masuk akal parti, hati ibarat ditoreh-toreh pisau tajam.
Bagaimana hendak kami yakinkan para pengundi untuk menyokong calon kami, anak-anak muda yang di usia lewat 20-an kini adalah mangsa kezaliman pemerintahan PAS dulu, masih segar dalam ingatan mereka yang dihalau dari tempat pembelajaran mereka.
Bagaimana hendak kami yakinkan orang-orang lama, yang dikafirkan oleh orang-orang PAS sehingga terjadinya sembahyang dua imam dalam sesebuah masjid.
Hari ini kita mengangkat seorang calon yang datangnya daripada kalangan mereka, sungguh tidak sensitif.
Andai kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Di mana ketelusan janji yang ditaburkan oleh presiden parti?
Calon sewajarnya dalam kalangan WALI – winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi).
Bukannya mereka yang setia kepada individu tertentu, bukannya juga mereka yang berkhidmat untuk kepentingan individu tertentu, dan tentu bukannya mereka yang mempunyai impian untuk bersekongkol dengan lawan yang terbukti tidak menguntungkan, malah terang-terangan ditolak oleh rakyat.
Penamaan calon PRU15 ini mewakili integriti, hala tuju dan gagasan BN kerana mereka ini apabila menang bakal mewakili suara rakyat.
Persoalannya, mampukah mereka menang dan mendapat mandat daripada rakyat?
Rakyat sudah cukup huru-hara melihat sepak terajang politik Malaysia sejak lima tahun kebelakangan yang penuh drama (lebih intrig dan mencengkam daripada drama bersiri TV swasta).
Mereka sangat dahagakan kestabilan dan ianya hanya mampu dicapai jika negara ditadbir oleh kerajaan yang kuat.
Untuk merintis usaha itu, ia tentunya dicetuskan oleh calon-calon yang diturunkan mewakili parlimen masing-masing.
Pucuk pimpinan tampaknya begitu optimis untuk menuai kejayaan besar dalam pilihan raya yang bakal menjelang ini. Saya kagum oleh keyakinan yang ditunjukkan ini.
Saya juga ingin optimis dan yakin, dan sebagai seorang ahli Umno, kesetiaan saya terhadap parti tidak perlu disangkal, namun keoptimisan dan keyakinan mestilah berasas.
Dengan kemelut dalaman parti yang masih meredam persis api dalam sekam, saya gusar keputusan yang termaktub nanti tidak semuluk jangkaan sekarang.
Analoginya begini, jika kita hendak turun ke medan perang, kita mesti bersiap siaga dengan strategi pertempuran yang mapan, senjata yang lengkap dan armada soldadu yang kebal rohani serta jasmaninya.
Begitulah juga halnya dengan penamaan calon dan persiapan menjelang PRU15 – serba serbinya mestilah tip top.
Janganlah nanti apabila realiti tidak seindah mimpi, pucuk pimpinan menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini, memberikan alasan itu dan ini.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata (janji/keputusan) buruk padahnya.
Bohong jika saya mengatakan saya tidak kecewa dengan keputusan presiden parti dalam pemilihan calon BN terutama sekali yang melibatkan Kuala Nerus.
Saya yakin ramai yang berasa terkhianati, tertipu dan terzalimi.
Kami pejuang yang melafazkan taat setia dan ikrar kepada parti. Kami sedia untuk berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua situasi.
Kami seperti mana rakyat ingin melihat kestabilan dan kemakmuran ibarat sirih yang pulang ke ganggang.
Namun, apa yang mampu kami buat jika tangan dan kaki kami diikat, mulut kami dibisukan dan kudrat kami dibius?
Meskipun berat, namun perjuangan mesti diteruskan kerana pejuang sejati tidak akan mengaku kalah.
Semangat kepahlawanan dan nasionalis yang berkobar di dalam hati adalah obor yang takkan mampu dipadam oleh mana-mana individu atau pihak.
Dan, dengan nyalaan obor itulah, saya dan mereka yang berasa terkhianati, tertipu dan terzalimi ini akan terus melangkah menongkah masa depan politik tanah air yang suram. – 7 November, 2022.
* Aizat Fikri Nasir Fikri, mantan timbalan presiden Umno London.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen