Bekas presiden Korea Selatan cadang kembalikan 3 anjing Pungsan ke Korea Utara


Bekas presiden Korea Selatan Moon Jae-in meminta Arkib Presiden memulakan perbincangan tentang pengurusan penjagaan ketiga-tiga anjing itu.– Gambar EPA, 7 November, 2022.

BEKAS presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada Isnin berhasrat memulangkan sepasang anjing dan anak anjing yang kini dalam peliharaannya selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menghadiahkan haiwan berkenaan pada 2018.

Pemimpin Korea Utara itu menghadiahkan Moon sepasang anjing baka Pungsan yang bernama Songkang (jantan) dan Gomi (betina) selepas sidang kemuncak ketiga mereka di Pyongyang pada September 2018, menurut Agensi Berita Yonhap.

Selepas bersara pada Mei lalu, Moon membawa tiga anjing berkenaan tinggal bersamanya di kediaman peribadinya di Yangsan.

Di bawah Akta Rekod Presiden, anjing Korea Utara yang diklasifikasikan sebagai rekod presiden dilarang tinggal bersama Moon selepas bersara dan sepatutnya dikembalikan ke Arkib Presiden.

Bagaimanapun, Arkib Presiden menandatangani perjanjian dengan Moon bagi membenarkan haiwan itu diletak di bawah jagaan beliau bermula 9 Mei kerana ketiadaan kemudahan menjaga haiwan serta untuk kebajikan anjing berkenaan.

Perjanjian itu menetapkan bahawa bekalan dan perbelanjaan untuk membiak dan mengurus anjing itu boleh dibayar mengikut bajet.

Pihak Moon dalam satu kenyataan pada Isnin, menyatakan hasrat untuk menyerahkan semula hak penjagaan ketiga-tiga anjing itu kepada Korea Utara susulan semakan semula ordinan penguatkuasaan Akta Rekod Presiden belum dilaksanakan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, pihak Moon baru-baru ini meminta Arkib Presiden memulakan perbincangan tentang pengurusan penjagaan ketiga-tiga anjing itu.

Permintaan itu dibuat susulan kos menguruskan tiga ekor anjing itu mencecah kira-kira 2.5 juta won (AS$1,783) sebulan.

Anjing baka Pungsan berasal dari kawasan pergunungan di Utara, terkenal dengan sifatnya yang tangkas, bijak dan ganas tetapi mesra dan setia kepada tuan mereka. – Bernama, 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen