POLIS Filipina hari ini menuduh ketua penjara negara itu mengarahkan pembunuhan seorang wartawan radio terkemuka, yang kematiannya mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Personaliti radio Percival Mabasa, 63, yang menggunakan nama “Percy Lapid” dalam programnya, ditembak mati di pinggir bandar Manila pada 3 Oktober ketika memandu ke studionya.
Polis memfailkan aduan pembunuhan terhadap ketua pengarah Biro Koreksional Gerald Bantag, yang kini digantung tugas, dan timbalan pegawai keselamatannya Ricardo Zulueta.
Lelaki bersenjata yang didakwa, Joel Escorial, menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu kerana bimbang keselamatannya selepas polis menyiarkan wajahnya daripada rakaman keselamatan, kata pegawai sebelum ini.
“Beliau (Bantag) mungkin akan menjadi pegawai tertinggi negara ini yang pernah didakwa dengan kes seperti ini,” kata Setiausaha Kehakiman Crispin Remulla.
Bantag didakwa mengarahkan pembunuhan Mabasa berikutan “pendedahan berterusan isu melibatkan pegawai berkenaan,” kata Eugene Javier dari Biro Siasatan Kebangsaan kepada pemberita.
Bantag dan Zulueta juga turut dituduh mengarahkan pembunuhan Cristito Villamor Palana, salah seorang banduan penjara yang didakwa menyerahkan perintah bunuh kepada Escorial.
Escorial telah mendedahkan mengenai Palana kepada polis.
Palana dilemaskan dengan beg plastik oleh ahli kumpulannya sendiri, kata Javier.
Aduan jenayah juga telah difailkan terhadap 10 banduan.
Pendakwaraya di Jabatan Kehakiman akan memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk memfailkan pertuduhan di mahkamah. – AFP, 7 November, 2022.
Komen