Pembiayaan kemusnahan iklim jadi agenda sidang iklim PBB


Walaupun benua Afrika antara paling terjejas akibat perubahan iklim negatif, negara di sana hanya mengeluarkan 4% daripada gas rumah hijau dunia. – Gambar EPA, 7 November, 2022.

SESI ke-27 Persidangan Pihak-pihak untuk Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27) bermula pada Ahad di Sharm El-Sheikh, Mesir, dan antara agenda perbincangan termasuk mengenai pembiayaan ke atas kerugian dan kerosakan, lapor Xinhua.

Pada sidang akhbar sempena pembukaan persidangan itu, Menteri Luar Mesir merangkap presiden COP27 Sameh Shoukry berkata beliau gembira melihat pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk memperkenal pembiayaan kerugian dan kerosakan sebagai agenda, serta menambah bahawa dunia memerlukan “lonjakan kualitatif untuk menghadapi cabaran perubahan iklim”.

Istilah “kehilangan dan kerosakan” dalam rundingan iklim PBB merujuk kepada perbelanjaan yang telah ditanggung akibat kesan perubahan iklim seperti kenaikan paras laut atau gelombang haba yang melampau.

Walaupun pembiayaan iklim ketika ini memberi tumpuan kepada mengurangkan pelepasan karbon untuk mencegah perubahan iklim pada masa hadapan, mewujudkan dana kerugian dan kerosakan bermakna memberi pampasan kepada negara yang tidak dapat mengelak atau menyesuaikan diri dengan perubahan yang telah berlaku.

Diplomat Mesir itu juga menyatakan banyak beban dan krisis ditanggung oleh persekitaran geopolitik global semasa yang perlu ditangani supaya ia tidak menjejaskan kemajuan dalam merealisasikan komitmen berkaitan tindakan menangani perubahan iklim.

Shoukry berkata negara di benua Afrika antara negara yang mengalami masalah akibat perubahan iklim.

“Negara-negara di benua Afrika menunjukkan kesanggupan mereka untuk menghadapi perubahan iklim, namun mereka memerlukan sokongan,” kata Shoukry.

Shoukry mempengerusikan mesyuarat untuk memuktamadkan agenda COP27, yang merangkumi usaha ke arah menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim, mengurangkan impak negatifnya dan cara untuk menyediakan pembiayaan iklim.

Pada mesyuarat itu, Shoukry menekankan perlunya usaha untuk menghadapi kesan negatif perubahan iklim semasa persidangan dua minggu itu yang dihadiri lebih 40,000 peserta dari 190 negara dan berpuluh-puluh organisasi antarabangsa dan serantau yang akan cuba bekerjasama dan mencari penyelesaian untuk menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi dunia.

Sementara itu, Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi berkata COP27 berlangsung pada masa yang sangat sensitif ketika dunia terdedah kepada bahaya.

“Tidak dinafikan bahaya dan cabaran ini memerlukan tindakan pantas oleh semua negara untuk melaksanakan pelan tindakan menyelamat yang melindungi dunia daripada kesan perubahan iklim,” kata Sisi dalam kenyataan rasmi di laman Facebooknya.

Presiden Mesir itu berkata negaranya menantikan persidangan iklim ini bagi memastikan segala janji dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly merasmikan Zon Hijau yang akan menyaksikan banyak acara dan aktiviti di luar COP27.

Madbouly menjelaskan kawasan yang diperuntukkan untuk Zon Hijau lebih besar daripada mana-mana sidang kemuncak iklim sebelum ini sekali gus mencerminkan mesej penting dari Mesir.

“Mesir mewakili benua Afrika pada sidang kemuncak ini, yang akan menyaksikan buat kali pertama peruntukan ‘Hari Afrika’. Acara itu akan membincangkan idea belia Afrika dan semua entiti yang mewakili benua hitam,” kata Madbouly semasa perasmian zon itu.

Beliau berkata walaupun benua Afrika adalah antara paling terjejas akibat perubahan iklim negatif, negara-negara Afrika hanya mengeluarkan 4% daripada gas rumah hijau dunia.

Oleh itu, katanya, penganjuran persidangan di Afrika adalah peluang sebenar untuk menghantar mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa Afrika memerlukan sokongan besar bagi menangani perubahan iklim. – Bernama, 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen