Meta bakal hentikan pekerja secara besar-besaran, menurut laporan


Memetik sumber yang fasih dengan isu pemberhentian pekerja Meta secara besar-besaran, beliau berkata ia bakal memberi kesan kepada "beribu-ribu" pekerja Meta dan pengumuman itu dijangkakan pada Rabu. – Gambar AFP, 7 November, 2022.

META akan menjadi firma teknologi terkini untuk mengurangkan tenaga kerjanya, dengan rancangan untuk menamatkan perkhidmatan ribuan pekerjanya minggu ini, lapor media Amerika Syarikat (AS) Ahad.

The Wall Street Journal, memetik sumber yang fasih dengan perkara itu, melaporkan pemberhentian itu bakal memberi kesan kepada “beribu-ribu” pekerja Meta dan pengumuman itu dijangkakan pada Rabu.

Setakat 30 September, Meta mempunyai kira-kira 87,000 pekerja di seluruh dunia merentasi platformnya yang berbeza, termasuk laman media sosial Facebook dan Instagram serta platform pemesejan Whatsapp.

Dalam pengumumannya mengenai keputusan suku ketiga Meta yang mengecewakan, Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg berkata kakitangan firma itu tidak akan meningkat menjelang akhir 2023, dan mungkin berkurangan sedikit.

Pelan terbaharu daripada Meta mengikuti pengumuman baru-baru ini oleh firma teknologi lain untuk membekukan pengambilan pekerja atau mengurangkan tenaga kerja mereka ketika industri menghadapi masalah ekonomi.

Khamis lalu, firma Silicon Valley Stripe dan Lyft mengumumkan pemberhentian berskala besar manakala Amazon berkata ia akan membekukan pengambilan pekerja di pejabat korporatnya.

Twitter, yang baru diperoleh oleh Elon Musk, secara tiba-tiba memecat kira-kira separuh daripada 7,500 pekerjanya minggu lalu.

Platform yang disokong iklan seperti Facebook dan Google Alphabet mengalami pemotongan belanjawan pengiklan kerana mereka bergelut dengan inflasi dan kenaikan kadar faedah.

Meta pada suku ketiga menyaksikan keuntungannya jatuh kepada AS$4.4 bilion, penurunan 52 peratus tahun ke tahun.

Nilai pasaran syarikat sepanjang tahun lalu turun kepada AS$600 bilion.

Sebagai tambahan kepada masalah perniagaannya yang disokong iklan, pelabur bimbang dengan keputusan Zuckerberg untuk menumpukan dana utama bagi membangunkan metaverse. – AFP, 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen