Korea Utara ikrar tindak balas tegas terhadap latihan tentera AS-Korea Selatan


KOREA Utara hari ini memberi amaran akan memberi tindak balas tegas dan berterusan terhadap latihan udara besar-besaran antara Amerika Syarikat (AS) dan dan Korea Selatan, lapor agensi berita KCNA.

Amaran dikeluarkan ketika republik itu bertubi-tubi melakukan ujian peluru berpandu sejak minggu lalu, termasuk empat peluru berpandu balistik antara benua yang dilepaskan pada Sabtu, hari yang sama AS dan Korea Selatan menamatkan latihan tentera udara terbesar mereka.

Kenyataan Tentera Rakyat Korea (KPA) yang disiarkan oleh KCNA menyebut ujian berpandu balistik baru-baru ini adalah jawapan jelas kepada Washington dan Seoul berhubung latihan ketenteraan bersama dua negara itu minggu lalu.

Menurut kenyataan itu, latihan udara besar-besaran tersebut satu provokasi untuk meningkatkan ketegangan secara sengaja, dan KPA tidak akan teragak-agak untuk menantang jika ia berterusan.

Ratusan pesawat pejuang AS dan Korea Selatan – termasuk pesawat pengebom B-1B – menyertai latihan ‘Vigilant Storm’ minggu lalu. Ini kali pertama pesawat B-1B terbang ke Semenanjung Korea sejak Disember 2017.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata latihan tersebut untuk memberi gambaran tentang keupayaan dan kesiapsiagaan dan  terhadap sebarang provokasi dari Korea Utara. – AFP, 7 November, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen