Perikatan mahu wujud 1 juta peluang kerja pendapatan tinggi


Noor Azam Shairi

Antara 12 tunjang Tawaran PN Best ialah membina ekonomi masa hadapan, membersihkan politik dan tadbir urus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) malam ini membentangkan tawarannya kepada rakyat Malaysia, antaranya sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, jika ia menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN berpengalaman untuk melaksanakan cita-cita itu berkat kejayaan pentadbirannya mewujudkan lebih 500,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Saya percaya jika Perikatan Nasional diberi mandat oleh rakyat, kita boleh buat dan kita akan buat lebih baik lagi,” katanya di Shah Alam.

Muhyiddin membentangkan tawaran itu dalam pakej Tawaran PN Best, yang katanya mengambil kira sentimen dan pandangan rakyat.

Tawaran dengan 12 tunjang utama itu merangkumi antaranya langkah-langkah untuk meningkat taraf hidup, peluang pekerjaan dan keselamatan makanan.

PN Best adalah singkatan kepada tema manifesto itu - Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang. Ia disusun melalui 30 pendekatan yang mengemukakan 234 tawaran.

Antara 12 tunjang Tawaran PN Best ialah membina ekonomi masa hadapan, membersihkan politik dan tadbir urus, mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, serta mentransformasi pertanian.

Menurut Muhyiddin, jika jadi kerajaan, mesyuarat Kabinet pertama akan membincangkan isu kos sara hidup rakyat termasuk harga barang yang tinggi dan nilai ringgit yang rendah.

“Jika kita berjaya membentuk kerajaan pada 19 November nanti, kita akan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

PN juga mahu menawarkan beberapa insentif khas kepada rakyat, antaranya RM1,000 untuk pekerja gig melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Bagi menangani masalah rakyat yang menua, PN berjanji menubuhkan sebuah jabatan warga emas untuk menjaga kebajikan mereka serta memperkenalkan skim lawatan doktor ke rumah.

“Saya ingin tegaskan bahawa tawaran ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan… dengan pengalaman kami sebagai kerajaan,” katanya.

Muhyiddin menjadi perdana menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021. – 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen