Cuti sehari selepas mengundi jika Perikatan menang PRU15, umum Muhyiddin


Noor Azam Shairi

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin selepas mengumumkan manifesto PN Best menjelang PRU15 di Shah Alam, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan cuti sehari pada Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan pada Isnin bagi negeri-negeri lain, sekiranya ia menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), umum Muhyiddin Yassin.

Cuti itu bagi memudahkan pengundi luar menunaikan tanggungjawab mereka mengundi pada 19 November ini, katanya.

“Saya nak umumkan, jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya umum pada Sabtu 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Johor, dan hari Isnin bagi negeri-negeri lain.

“Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin,” katanya pada satu majlis di Shah Alam malam ini.

Muhyiddin mengumumkan cuti sehari itu semasa membentangkan manifesto gabungan itu untuk PRU15, yang dinamakan Tawaran PN Best.

PN Best adalah singkatan kepada tema manifesto itu - Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang.

PN Best merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Pada PRU14, ketika pengundian ditetapkan pada Rabu, Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa pada masa itu mengumumkan cuti umum pada 10 dan 11 Mei selain 13 Mei bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan.

Cuti itu diumumkan atas arahan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad selepas gabungan itu sah menang pilihan raya untuk membentuk kerajaan. – 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen