Jerman persoal rekod hak asasi Mesir


Pesuruhjaya Hak Asasi Jerman Luise Amtsberg, mendesak Mesit selaku tuan rumah membebaskan pengkritiknya Alaa Abdel Fattah yang kini melakukan mogok lapar dalam penjara bersama peguamnya Mohamed al-Baqer. – Gambar AFP, 6 November, 2022.

BERLIN pada Ahad menuduh Mesir tidak memenuhi tanggungjawab hak asasinya ketika negara itu sedang bersedia menjadi tuan rumah pemimpin dunia untuk sidang kemuncak perubahan iklim, COP27.

Pesuruhjaya Hak Asasi Jerman Luise Amtsberg, mendesak Mesit selaku tuan rumah membebaskan pengkritiknya Alaa Abdel Fattah yang kini melakukan mogok lapar dalam penjara bersama peguamnya Mohamed al-Baqer.

“Hakikat yang orang yang mahu meluahkan pandangan mereka secara bebas dan berjuang untuk kebenaran dihukum dengan hukuman penjara yang panjang- kadang kala dalam persekitaran tidak berperikemanusiaan- tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

“Mengambil tanggungjawab global juga bermaksud bertanggungjawab untuk melindungi hak asasi.

“Bagaimanapun, situasi hak asasi di Mesir tidak sebegitu.”

Membebaskan Abdel Fattah dan tahanan politik lain akan menghantar “petanda penting” yang Mesir serius untuk bertanggungjawab ke atas hak asasi negara itu, tambahnya.

Kaherah berdepan kecaman hebat kerana rekod hak asasinya sejak ia diumumkan sebagai tuan rumah COP27 tahun lepas, tindakan yang dilihat kumpulan hak sebagai “ganjaran kepada pentadbiran menekan” Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Kumpulan hak menganggarkan terdapat hampir 60,000 tahanan politik dalam penjara di Mesir, dengan kebanyakannya diletak dalam penjara sesak, tuduhan yang dinafikan Kaherah.

Lima belas pemenangan Hadiah Nobel minggu lepas menggesa Mesir membebaskan Abdel Fattah, tokoh utama pemberontakan 2011 yang menjatuhkan presiden ketika itu, Hosni Mubarak.

Penulis dan ahli falsafah keturunan Mesir-British itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan “menyiarkan berita palsu”, selepas menghabiskan berdekad-dekad lamanya dalam penjara.

Beliau kini sedang melakukan mogok lapar dan keluarganya memberi amaran yang jika tidak dibebaskan semasa sidang kemuncak, beliau berdepan risiko maut kerana dijangka berhenti minum cecair pada Ahad, hari pembukaan COP27.

Hampir 200 buah negara akan hadir sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh yang dijadualkan berlangsung hingga 18 November. – AFP, 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen