4 ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU15


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu, seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Hazani Ghazali yang juga pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata, PDRM juga membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

Ia membabitkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

Selain itu Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

Hazani berkata, antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

Hazani berkata, bagi permit ceramah pula, PDRM mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (7), Kelantan (6), Perlis (3) dan Kuala Lumpur (2).

“Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (5), Terengganu (2) dan Pahang (1),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 November. – Bernama, 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen