Prabakaran gesa Tian Chua tarik diri bertanding di Batu


P Prabakaran meminta Tian Chua menarik diri bertanding sebagai calon Bebas di Batu, kawasan yang menyaksikan pertandingan 10 penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2022.

PENYANDANG kerusi Batu P Prabakaran mahu Tian Chua menarik diri daripada bertanding di kawasan itu bagi memastikan Pakatan Harapan terus mengekalkan kerusi bandar itu.

Katanya, Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas dalam pertandingan 10 penjuru itu hanya akan menambah sebab undi terpecah.

“Saya rasa kecewa kerana jadi macam ni sedangkan dia sudah banyak bantu saya sejak empat tahun lepas.

“Jika dia tak tarik diri, ini akan mengelirukan pengundi dan hanya menjejaskan parti.

“Pakatan tidak boleh hilang satu pun kerusi,”katanya pada sidang media di Sentul hari, seperti dilapor The Star Online.

Beliau turut meluahkan harapan supaya pengundi kawasan itu terus menyokong PH.

Semalam, Tian Chua dilaporkan memberitahu stesen radio BFM yang beliau bertanding kerana ramai pengundi Batu tidak berpuas hati dengan prestasi kerja wakil rakyat sedia ada.

Tambahnya, beliau juga berjanji dengan penduduk kawasan itu akan kembali berkhidmat selepas hilang kelayakan bertanding PRU14 kerana denda RM2,000 atas kesalahan menghina anggota polis.

Sebelum itu, beliau adalah penyandang kerusi Batu selama dua penggal.

Katanya lagi, beliau juga mahu memastikan kerusi Batu terus dipegang PH, memberi bayangan yang Prabakaran tidak akan dipilih lagi kali ini.

Prabakaran menang kerusi itu sebagai calon Bebas pada PRU14, dengan sokongan kuat Tian Chua dan PKR, sebelum menyertai parti itu.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun lepas, hubungan mereka bertambah tegang sehinggakan Tian Chua membuat keputusan bertanding di Batu sebagai calon Bebas.

Selain Prabakaran dan Tian Chua, calon lain yang bertanding adalah A Kohilan Pillay (Barisan Nasional-MIC), Azhar Yahya (Perikatan Nasional-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (Gerakan Tanah Air)-Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Peguam-aktivis Siti Zabedah Kasim, personaliti media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan aktivis sosial Too Cheng Huat juga bertanding sebagai calon Bebas. – 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen