Jururawat di UK bakal adakan mogok


Ribuan jururawat di United Kingdom bakal mengadakan mogok bagi menuntut gaji lebih baik susulan inflasi yang melanda negara. – Gambar AFP, 6 November, 2022.

JURURAWAT di seluruh United Kingdom (UK) mengundi untuk mengadakan mogok dalam tindakan peringkat kebangsaan pertama mereka berhubung isu gaji, kata laporan media pada Ahad.

Undian mogok di kalangan lebih 300,000 ahli Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) adalah yang terbesar dalam sejarah 106 tahun kesatuan itu.

“Tindakan mogok kami adalah untuk pesakit dan juga jururawat—kami mendapat sokongan mereka melakukan ini,” kata setiausaha Pat Cullen.

Walaupun pengiraan masih dijalankan, agensi berita PA domestik melaporkan pegawai RCN percaya cukup ahli mengundi untuk tindakan perindustrian musim sejuk, yang akan berlangsung dalam beberapa minggu, mungkin sebelum Krismas.

RCN berkempen untuk kenaikan gaji sebanyak 5% melebihi inflasi yang melambung tinggi.

Sifat sebenar mogok itu masih belum ditentukan, tetapi berkemungkinan mengganggu operasi dan temu janji walaupun pesakit sudah berdepan rekod senarai menunggu.

“Ini akan menyaksikan majoriti perkhidmatan keluar, dan barisan mogok di seluruh negara,” kata sumber kesatuan kepada akhbar Observer.

Ia juga berlaku ketika Perdana Menteri Rishi Sunak dan Canselor Jeremy Hunt sudah pun menghadapi cabaran besar untuk menangani isu 50 bilion pound (AS$57 bilion) dalam kewangan awam.

UK, yang sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup, menyaksikan gelombang tindakan perindustrian dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Puluhan ribu kakitangan dalam pelbagai industri—daripada sistem pos dan undang-undang hingga pelabuhan dan telekomunikasi—melancarkan mogok di seluruh Britain sejak musim panas.

RCN berkata terdapat rekod kekosongan kejururawatan kerana 25,000 kakitangan kejururawatan di seluruh UK keluar daripada daftar Majlis Kejururawatan dan Perbidanan pada tahun lepas.

Analisis terkini menunjukkan gaji jururawat berpengalaman jatuh sebanyak 20% sejak 2010, dan RCN berkata kebaikan dan kepakaran kakitangan kejururawatan sedang “dieksploitasi” oleh kerajaan di seluruh UK. – AFP, 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen