AHLI perniagaan yang dikehendaki Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) kerana melanggar sekatan ekonomi ke atas Korea Utara kini berada di Singapura, kata pihak berkuasa republik itu.
Khamis lalu AS menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta (RM24 juta) bagi mendapatkan maklumat mengenai seorang ahli perniagaan Singapura Kwek Kee Seng yang dituduh membantu penghantaran bahan api ke Korea Utara, selain pengubahan wang haram.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya telah mendapatkan penjelasan dari Jabatan Negara AS berkenaan ganjaran tersebut. SPF dan jabatan itu sering berkongsi maklumat mengenai Kwek.
Program Ganjaran untuk Keadilan Jabatan Negara berkata lokasi sebenar Kwek tidak diketahui, dan lelaki itu dikenal pasti pernah berada di Korea Utara, Kemboja, Taiwan, Thailand, Cameroon, Saint Kitts dan Nevis.
Bagaimanapun, SPF dalam kenyataannya semalam berkata Kwek, 62, kini berada di Singapura.
Kenyataan itu menyebut menyatakan Kwek disiasat Jabatan Ehwal Komersil (CAD) sejak April 2021 di bawah Akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Singapura 2001, dan pasportnya juga dirampas.
Kwek disiasat selepas Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menyiasat lelaki itu atas dakwaan bersubahat mengelak sekatan ekonomi ke atas Korea Utara dan kes pengubahan wang haram.
Pada 2021, pendakwa raya persekutuan di New York mengeluarkan waran tangkapan ke atas Kwek yang memiliki syarikat perkapalan Swanseas Port Services yang berpangkalan di Singapura. – AFP, 6 November, 2022.
Komen