KETUA hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk pada Sabtu menggesa pemilik baharu Twitter Elon Musk supaya menghormati hak asasi manusia sebagai pusat rangkaian sosial selepas beliau memecat kira-kira separuh pekerja syarikat itu.
Laporan mengenai Musk memberhentikan seluruh pasukan hak asasi manusia platform itu “dari perspektif saya, ia bukan permulaan yang menggalakkan”, kata Turk dalam surat terbuka.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB itu berkata beliau menulis dengan “kebimbangan mengenai laman sesawang berasaskan pengguna dan peranan Twitter di dalamnya”.
Beliau memberi amaran supaya tidak menyebarkan ucapan kebencian dan maklumat salah serta menekankan keperluan untuk melindungi privasi pengguna.
Musk, individu terkaya di dunia, mengambil alih platform itu seminggu yang lalu dalam perjanjian yang menjadi pertikaian.
Selepas menyempurnakan pemerolehannya yang bernilai AS$44 bilion, Musk dengan cepat bertindak membubarkan lembaga Twitter dan memecat ketua eksekutif dan pengurus tertingginya.
Twitter pada Jumaat memecat kira-kira separuh daripada 7,500 tenaga kerjanya.
“Seperti semua syarikat, Twitter perlu memahami bahaya yang berkaitan dengan platformnya dan mengambil langkah untuk menanganinya,” tulis Turk.
Turk menyiarkan surat terbuka itu di Twitter, di mana beliau mempunyai lebih daripada 25,000 pengikut.
Turk menggesa Twitter mempertahankan hak privasi dan kebebasan bersuara seboleh mungkin, di bawah undang-undang berkaitan, dan melaporkan secara telus tekanan kerajaan yang akan melanggar hak tersebut.
Tetapi beliau berkata kebebasan bersuara “bukan pas percuma”, dengan berkata penyebaran virus maklumat salah yang berbahaya, seperti dilihat semasa pandemik Covid-19, mengakibatkan kemudaratan dunia nyata.
“Twitter mempunyai tanggungjawab mengelak daripada memperbesarkan kandungan yang mengakibatkan kemudaratan kepada hak individu,” kata Turk.
“Tiada tempat untuk kebencian yang mencetuskan diskriminasi, permusuhan atau keganasan di Twitter.
“Ucapan kebencian merebak seperti api di media sosial… dengan akibat yang mengerikan dan mengancam nyawa.”
Oleh itu, Twitter harus terus menyekat kebencian sedemikian di platform, sementara segala usaha harus dilakukan untuk mengeluarkan kandungan tersebut dengan segera, kata Turk.
Beliau juga berkata kebebasan bersuara bergantung kepada perlindungan privasi yang berkesan.
Beliau berkata penyelidikan adalah penting untuk memahami kesan media sosial terhadap masyarakat, dan oleh itu menggesa Musk mengekalkan akses kepada data Twitter melalui aplikasi terbukanya.
Akhir sekali, beliau menegaskan Twitter harus mempunyai kapasiti penyederhanaan kandungan dalam semua bahasa dan konteks, bukan hanya di Amerika Syarikat atau dalam kandungan bahasa Inggeris. – 6 November, 2022.
Komen