Perak, Pakatan dan pusat tempur Malaysia


Mohd Azizi Jaeh

Tumpuan pertandingan di kerusi Parlimen di Perak ialah di Tambun, yang ditandingi Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 November, 2022.

SEJAK 2008, Perak antara negeri yang rapuh, sering bertukar dan bergilir kerajaan negeri yang memerintah. Dua minggu mendatang, Perak menjadi gelanggang tempur antara blok gabungan dan parti politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

Setelah pencalonan selesai semalam, pertandingan di kerusi Parlimen tumpuan ialah di Tambun yang ditandingi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, serta di Bagan Datuk yang ditandingi Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden MIC S A Vigneswaran bertanding di Sungai Siput sementara timbalannya M Saravanan bertanding di Tapah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional yang juga Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin bertanding di Larut, manakala Setiausaha Agung BN Zambry Kadir di Lumut.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang mempertahankan Tanjung Malim sementara Naib Presiden PAS Idris Ahmad bertanding di Bagan Serai dan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof di Parit Buntar.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di Gerik.

Semua kerusi ini secara tidak langsung menjadi medan perlumbaan untuk menentukan gabungan mana dulu yang akan mencapai angka majoriti mudah 112 pada malam 19 November nanti.

Sudah tentu, tumpuan nasional akan dihalakan kepada mempromosi dan memasarkan (political marketing) profil calon perdana menteri Anwar Ibrahim, juga yang pertama dari Perak.

Bagaimanapun, Anwar dalam misi untuk mencabar bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu tidak semudah yang dijangkakan. 

Tidak kurang, kapasiti Faizal sebagai anak tempatan dan dikatakan memiliki sedikit kelebihan undi Melayu pastinya memasang impian untuk menyekat perencanaan strategik Anwar.

Misi Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mencabar bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu tidak semudah yang dijangkakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 November, 2022.

Perang merebut undi ini merupakan strategi kemaraan PH untuk mengembalikan semula Perak dan kerajaan Persekutuan khususnya selepas diruntuhkan secara tidak demokratik pada Februari-Mac 2020. 

Lokalitinya yang strategik di tengah Pantai Barat Semenanjung dipilih oleh PH sebagai pusat tempur, sekali gus menghamparkan laluan yang lebih terbuka untuk ke Putrajaya sekiranya dapat mencatatkan tambahan kerusi di beberapa negeri lain. 

Tidak hairanlah Perak disasarkan menjadi ‘satu lagi Selangor’ dan ‘satu lagi Pulau Pinang.’

Dengan perebutan 24 kerusi Parlimen, kehadiran calon berprofil tinggi meliputi ketua-ketua parti, bekas menteri Kabinet dan beberapa nama pimpinan utama di peringkat nasional yang turun bertanding dapat menarik sokongan pengundi tempatan dan luar untuk ‘bersesak’ membuang undi. 

Lagi pula, tumpuan seluruh negara boleh memotivasikan, menaikkan semangat juang jentera parti untuk berhempas pulas memenangi peperangan yang cukup genting di beberapa kerusi panas seterusnya menaikkan graf sokongan pengundi. 

Andaian umum, semakin tinggi peratusan yang keluar mengundi, semakin berpeluang untuk PH menang. Namun, ini bukanlah jaminan untuk PH mengambil pendekatan yang defensif.

Bahkan, penjajaran semula kawasan pilihan raya atau strategi berpindah kerusi yang ditandingi dengan meletakkan nama-nama besar (heavyweight candidate) merupakan percaturan untuk ‘membuka seluas-luasnya gelanggang perlawanan’ atau bertindak secara ofensif dengan menggempur habis-habisan  beberapa kawasan Parlimen agar mood pilihan raya terus panas membahang dan tidak menjadi hambar. 

Sejurus sahaja penamaan calon, kempen dan ceramah akan lebih tertumpu, barangkali boleh menghasilkan sebuah ‘gelombang’ ‘aliran’ dan ‘limpahan ke bawah’ (trickle down) untuk menaikkan sokongan pengundi di kawasan-kawasan sekitar, misalnya kawasan Tambun yang ditandingi oleh calon perdana menteri iaitu Anwar) dikelilingi oleh Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat merupakan kubu kuat PH-DAP. 

Meskipun begitu, Tambun memiliki anggaran 66% pengundi Melayu yang disifatkan pemerhati sebagai kawasan berisiko kecundang yang boleh menghancurkan rencana PH untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. 

Apa pun, perencanaan untuk menggempur kawasan majoriti Melayu ini merupakan mesej yang ingin dihantar kepada pengundi bahawa PH mesti keluar dari zon selesa (tidak terlalu bergantung kepada kawasan campuran dan pengundi Cina).

Ia juga usaha untuk memulihkan semula imej PH yang tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu dan tidak hanya bertahan (defensif) di kubu kuat sendiri (baca; Lembah Klang) sekiranya ingin mencetak sebanyak mungkin nombor dan nama sebagai pemenang yang akan memakai lencana ‘Yang Berhormat’ pihak kerajaan. 

Barulah nanti dengan penuh keyakinan calon perdana menteri boleh mengungkapkan “I have the numbers”!

Oleh itu, mengekalkan strategi yang sama, pastinya sukar mendapat keputusan yang berbeza, tetapi menukar strategi yang berbeza sudah tentu akan menghasilkan keputusan berbeza ketika bertempur. – 6 November, 2022.   

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen