SERAMAI 63 calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mewakili parti dan gabungan politik seperti PAS, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Putra dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bertanding merebut 14 kerusi Parlimen di negeri ini.
Turut beradu nasib pada pilihan raya di Kelantan kali ini ialah seorang wakil parti Warisan dan empat calon Bebas.
Secara keseluruhan lapan kerusi menyaksikan pertembungan empat penjuru, lima kerusi membabitkan pertembungan lima penjuru, manakala Parlimen Kota Bharu menyaksikan penyandang kerusinya berdepan cabaran daripada lima calon lain.
PAS dan Bersatu yang membentuk kerjasama pada PRU15 menampilkan 14 calon, masing-masing sembilan calon PAS dan lima Bersatu dengan semua calon gabungan itu menggunakan logo PAS.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menghadapi pertembungan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian buat kali kedua.
Beliau ditentang Nurul Amal Mohd Fauzi (BN), Mohamad Rizal Razali (Putra-Pejuang) dan Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (PH).
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu dan berdepan cabaran daripada Dr Hafidzah Mustakim (PH); Rosmadi Ismail (BN); Andy Tan@Awang (Parti Rakyat Malaysia); Prof Dr Che Musa Che Omar (Putra) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas)
Di Parlimen Pasir Mas penyandang kerusi tersebut yang juga Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari ditentang tiga calon lain iaitu Husam Musa (PH), Ab Ghani Harun (BN) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Putra).
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh turut dicabar tiga calon iaitu Kapt (B) Wan Marzudi Wan Omar (Putra-Pejuang), Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman (BN) dan Pengerusi PH Kelantan Muhammad Husain (PH).
Penyandang kerusi Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz yang menang kerusi itu atas tiket BN pada PRU14 kali ini bertanding atas tiket PAS dalam pertandingan lima penjuru.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula berdepan cabaran Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PAS), Dr Rosli Allani S Abdull Khadir dan calon Putra, Mejar (B) Muhammad Seman, bagi kerusi Parlimen Machang.
Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang pertama kali dimenanginya tanpa bertanding pada 1974.
Beliau dicabar Mohd Azizi Abu Naim (PAS), Dr Samsu Adabi Mamat (Putra-Pejuang) dan Asharun Uji (PH).
Turut menarik perhatian keputusan Che Abdullah Mat Nawi yang menang kerusi Parlimen Tumpat pada PRU14 atas tiket PAS untuk mempertahankan kerusi tersebut menggunakan tiket BN sebagai calon langsung.
Beliau akan menentang calon PAS Mumtaz Md Nawi, Che Mohd Aseman Che Ali (Putra), Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH). – Bernama, 5 November, 2022.
Komen