Konsert K-pop di Indonesia dihentikan selepas 30 peminat pengsan


Kejadian bermula apabila kumpulan K-pop NCT 127 memberikan hadiah kepada penonton yang kemudiannya berebut menghampiri pentas sehingga pagar penghadang runtuh, sekali gus menyebabkan 30 peminat pengsan. – Gambar Facebook, 5 November, 2022.

KUMPULAN K-pop NCT 127 terpaksa menamatkan konsert pertama mereka di Indonesia lebih awal selepas 30 orang pengsan, kata polis.

Indonesia masih dihantui dengan kematian lebih 130 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak, dalam rempuhan rempuhan stadium bulan lepas, salah satu bencana paling maut dalam sejarah bola sepak republik itu.

Jurucakap polis Endra Zulpan berkata konsert berhampiran Jakarta telah berlangsung selama kira-kira dua jam apabila peminat mula melonjak ke hadapan untuk mendekati pentas.

“Disebabkan itu, 30 orang pengsan. Untuk mengelakkan kejadian lain, kami memutuskan untuk menghentikan konsert pada 9.20 malam,” kata Zulpan, menambah peminat yang rebah telah pulih.

Sejurus sebelum itu, kumpulan K-pop lelaki itu telah memberikan hadiah percuma kepada peminat, kata penonton konsert berusia 19 tahun Syifa Aulia kepada AFP.

Katanya peminat di belakang telah menolak ke arah pentas sehingga pagar penghadang runtuh.

“Kami kecewa dengan peminat-peminat itu. Kami diberi amaran untuk tidak menolak antara satu sama lain, walaupun oleh ahli NCT 127, tetapi mereka sangat mementingkan diri sendiri. Hanya untuk rakaman yang baik, mereka mengabaikan keselamatan orang lain,” katanya.

Polis telah membenarkan hari kedua konsert NCT 127 berlangsung pada Sabtu, tetapi melarang pengedaran barangan kepada peminat dan memerlukan langkah lebih ketat untuk memisahkan peminat dan penghibur.

“Untuk menebus kesalahan itu dan memberikan pengalaman terbaik, kami akan menambah lebih ramai paramedik dan anggota keselamatan untuk pertunjukan pada hari Kedua,” kata penganjur konsert Dyandra Global Edutainment di Instagram.

Peminat Miftahul Janna, 18, berkata peminat “benar-benar meminta maaf” kepada kumpulan itu.

“Kami minta maaf kerana kami telah membuat anda bimbang dalam konsert pertama anda di Indonesia. Daripada kejadian ini, kami berharap kami dapat mematuhi peraturan keselamatan dengan lebih baik dan lebih mengambil berat tentang orang lain,” katanya.

Hujung minggu lepas, polis membatalkan hari ketiga festival muzik Berdendang Bergoyang di Jakarta selepas hampir 30 orang pengsan akibat lebihan kapasiti.

Pada hari sama, lebih 150 orang terbunuh dalam rempuhan orang ramai di pesta Halloween di Seoul. – AFP, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen