6 pencalonan ditolak, tiada calon menang tanpa bertanding, umum SPR


Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh petang ini mengesahkan tiada calon menang tanpa bertanding pada PRU15, manakala enam borang pencalonan ditolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada calon menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala enam borang pencalonan ditolak.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam sidang media mengenai proses penamaan calon di seluruh negara di Putrajaya hari ini, berkata satu siaran media bagi menerangkan perkara itu akan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata Parlimen Batu mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi dalam PRU15 yang melibatkan 10 penjuru.

“Manakala bagi pertandingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) memperlihatkan pertandingan paling tinggi di N47 Chenderiang, Perak iaitu tujuh penjuru,” katanya.

Abdul Ghani berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru .

Proses penamaan calon PRU15 dan PRK DUN Bugaya berlangsung di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bermula dari 9 pagi hingga 10 pagi tadi.

Abdul Ghani berkata dengan selesainya urusan berkenaan, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 18 November.

Ditanya sama ada SPR menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) untuk PRU15, beliau secara ringkas berkata semua perkara berkaitan akan dinyatakan dalam kenyataan media.

PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).

SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk PRU15. Ia mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – Bernama, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen