Astro Awani jemput Zahid, Muhyiddin, Anwar berdialog


Noor Azam Shairi

Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebelum ini mencadangkan debat antara calon perdana menteri daripada tiga gabungan utama yang bersaing pada pilihan raya ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 November, 2022.

STESEN berita Astro Awani menjemput tiga ketua gabungan parti politik utama, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk berdialog menjelang hari pengundian 19 November ini, kata sumber parti.

Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail yang dihubungi mengesahkan jemputan itu dihantar ke pejabat ketua gabungan BN, PN, dan PH, minggu lalu.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada mereka. Maklum balas awal yang kita terima setakat ini positif.

“Kita sedang menyelaraskan masa yang sesuai untuk ketiga-tiga ketua gabungan,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight difahamkan jemputan Astro Awani dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi sebuah gabungan beberapa hari lepas.

Ashwad berharap dialog berkenaan dapat membantu pengundi memahami pendirian dan dasar gabungan utama parti mengenai isu-isu utama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Ini bukan debat. Kita jemput mereka berdialog,” tambahnya.

Dialog Ketua Gabungan PRU15 itu adalah sebahagian daripada siri Dialog Tiga Penjuru, program di Astro Awani sejak tahun lalu, yang menampilkan tiga panelis dari latar belakang berbeza untuk duduk semeja membincangkan sesuatu topik hangat atau isu semasa.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebelum ini mencadangkan debat antara calon perdana menteri daripada tiga gabungan utama yang bersaing pada pilihan raya ini.

Dalam reaksinya, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata sedia untuk berdebat sekiranya ada jemputan daripada mana-mana penganjur.

Katanya, beliau tiada masalah untuk membincangkan isu berkaitan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19, ekonomi dan pendidikan serta isu antarabangsa.

Bagaimanapun Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang disebut-sebut calon perdana menteri bagi BN menyifatkan “debat bukan budaya” di negara ini.

Debat juga tidak wajar, katanya, kerana ahli politik sibuk berkempen menjelang hari pengundian. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen