Kelesuan politik menjelang PRU15


PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menarik kerana ada beberapa faktor baharu yang akan membuatkan parti-parti politik dan penganalisis lebih kritikal dalam meramal corak pengundian.

Seperti yang kita tahu, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik akan meningkatkan jumlah pengundi baharu – ia adalah pembolehubah yang belum pernah wujud sebelum ini.

Saya percaya belum ada entiti yang benar-benar memahami apa sebenarnya yang pengundi-pengundi baharu ini inginkan.

Selepas kejatuhan Pakatan Harapan, rakyat mengalami kelesuan politik – ramai mengambil kesimpulan bahawa parti-parti politik yang ada di Malaysia tidak boleh diharap.

Kedatangan pandemik menambah kelesuan politik rakyat apabila ahli-ahli politik sibuk berebut kuasa. Adakah anda masih ingat betapa hebatnya kempen Bendera Putih dan #KitaJagaKita?

Semua ini menunjukkan rakyat putus harapan dengan entiti politik dan saling menjaga sesama rakyat.

Kelesuan politik pasca Sheraton

Ketika Pilihan Raya Negeri di Melaka, kita dapat melihat kadar turun mengundi adalah 65.85%, jauh lebih rendah berbanding ketika PRU14 (melebihi 80%). Trend penurunan kadar undi turut dirasai di PRN Johor yang hanya mencatatkan kadar pengundian 54.92 – hanya lebih sekitar 5 peratus daripada separuh jumlah mereka yang layak mengundi.

Cuma, untuk PRN Johor, peningkatan mereka yang layak mengundi (UNDI18) telah memberi kesan drastik kepada statistik kadar turun mengundi. Ketika PRN Johor, kita dapati ramai pengundi muda yang masih tidak turun mengundi. Barangkali kebanyakan mereka tidak mengetahui mereka telah didaftarkan secara automatik dan layak mengundi.

Satu hal lagi yang ingin saya katakan – melalui pengundian di Johor – kita boleh simpulkan, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka telah berjaya meningkatkan kadar pengundian orang muda.

Kelesuan politik ini memberikan impak yang besar kepada peralihan kerusi, di PRN Melaka kita melihat undi BN meningkat hanya 0.64 peratus tetapi mereka berjaya menang besar di sana. Selain daripada faktor perpecahan PH-Bersatu, faktor penurunan kadar mengundi yang mendadak telah menyebabkan banyak kerusi berubah tangan.

Secara umumnya, saya boleh mengatakan pengundi Pakatan Harapan melakukan ‘protes’ dengan tidak turun mengundi ketika PRN Melaka.

Saya percaya faktor kelesuan pengundi merupakan salah satu sebab Umno yakin untuk membubarkan Parlimen.

Strategi paling berkesan yang boleh digunakan Pakatan Harapan adalah membangkitkan kemarahan rakyat. Rakyat yang marah dan lapar cenderung untuk menukar kerajaan.

Pertembungan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan memberikan kesan yang besar kepada peluang Pakatan Harapan memenangi di kerusi-kerusi kritikal.

Perkongsian segmen pengundi yang tinggi di antara BN-PN (Melayu konservatif) akan menyebabkan perpecahan undi yang akan memberi keuntungan kepada PH.

Kerajaan campuran  

Kita memiliki tiga blok utama dalam PRU15 – Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional. Saya cukup yakin tidak akan ada mana-mana blok yang akan memenangi majoriti mudah (112 kerusi Parlimen).

Keadaan ini memaksa negara kita menyaksikan akan adanya kerajaan campuran – seperti yang berlaku selepas Sheraton. Nampaknya blok Borneo amat penting dalam pembentukan kerajaan.

Sekiranya dahulu PAS sering mengatakan mereka ingin menjadi king maker – nampaknya king maker sebenar pada PRU14 adalah blok Borneo. Sudah menjadi lumrah blok politik mereka ingin menjadi kerajaan, hal ini bermakna Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diramalkan akan menang besar di Sarawak akan menjadi faktor penting.

Walaupun buat masa ini mereka menjalinkan kerjasama dengan kerajaan; saya percaya sekiranya ada blok yang berjaya mendapat 80-90 kerusi Parlimen, mereka akan bekerjasama dengan blok tersebut.

Situasi di Sabah masih sukar dibaca, Warisan tidak sepopular PRU14, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidaklah memiliki prestasi yang cemerlang. Untuk Sabah, sifirnya tetap sama – blok politik di sana cenderung untuk menyokong mereka yang boleh menjadi kerajaan.

Sekiranya mereka yang bertanding datang dengan idea-idea bosan seperti mengambil gambar di rumah orang miskin atau program mengisi minyak untuk motosikal – saya tidak fikir kelesuan politik ini dapat diubati.

Mereka yang bertanding perlu datang dengan isu-isu sebenar seperti isu pekerjaan, pemilikan aset, kenaikan harga barang, keselamatan makanan, dan hal-hal penting yang lain. – 5 November, 2022.

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen