Legasi Dr Lo' Lo' modal kempen calon Perikatan di Titiwangsa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Calon PAS untuk Parlimen TItiwangsa Dr Rosni Adam berkata beliau akan yakinkan pengundi dengan kecemerlangan khidmat arwah Dr Lo' Lo' yang menang kerusi itu pada PRU12. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 November, 2022.

CALON tunggal wanita untuk kerusi Titiwangsa, Dr Rosni Adam dari PAS bertekad untuk meneruskan legasi bekas penyandang kerusi itu Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali.

Dr Rosni berkata beliau akan cuba menyakinkan pengundi dengan kecemerlangan khidmat arwah yang menang kerusi itu dalam PRU12.

“Saya yakin kecemerlangan Dr Lo’lo’ bakal membantu meyakinkan pengundi untuk memilihnya berbanding calon nama besar lain di parlimen ini.

“Legasi Dr Lo’lo’ sangat membantu saya sebab kebanyakan tempat kita pergi, orang mengenai beliau, terutama orang lama sebab dia betul-betul berkhidmat.

“Saya rasa lega kerana boleh jadikan Dr Lo’lo’ sebagai satu ‘modal’ untuk saya meneruskan legasi beliau,” kata Dr Rosni ketika ditemui di pusat penamaan calon pagi ini.

Dr Lo’Lo’ menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai 2011 ketika menyandang kerusi itu.

Mengulas lanjut, Dr Rosni yakin dapat memberi saingan kerana mempunyai kelayakan setara dengan allahyarhamah yang juga timbalan ketua Muslimat PAS ketika bertanding dalam PRU 2008.

“Ketika bertanding, beliau pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS. Saya juga sudah tiga penggal memegang jawatan ini.

“Latar belakang kami lebih kurang sama, jadi insya Allah saya yakin boleh menyambung apa yang allahyarhamah lakukan kepada pengundi dan rakyat di sini,” katanya.

Bekas calon kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam PRU14 itu berkata, beliau selesa bertanding di Titiwangsa kerana pernah bersekolah di kawasan itu.

“Selaku calon tunggal wanita di Titiwangsa, saya yakin pengundi Malaysia perlu menghantar lebih ramai wanita ke Parlimen.

“Saya juga calon paling muda di sini dan boleh tampilkan idea lebih segar berbanding calon lain,” katanya.

Dr Rosni yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional antara lain ditentang bekas penyandang kerusi itu Johari Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN).

Johari berkata beliau mampu menang 19 November berdasarkan khidmat berterusan di Titiwangsa sejak lebih 10 tahun lalu, termasuk ketika tidak lagi menjadi wakil rakyat.

“Bagi saya tiada beza antara pilihan raya lalu dengan pilihan raya kali ini. Saya tak pernah berhenti berkhidmat di kawasan ini walaupun saya bukan wakil rakyat selama empat tahun enam bulan.

“Saya terus bekerja dan adakan libat urus dengan masyarakat melalui Yayasan Bena Nusa.

“Yang membezakan hanyalah jika menang, saya boleh menyumbang pada skala lebih besar dengan menggunakan pengalaman saya kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dua lagi calon terdiri dari Khalid Samad mewakili Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Khairuddin Abu Hassan mewakili Pejuang.

Mengulas mengenai cabarannya bertemu Khalid yang dilihat sebagai nama besar PH, Johari berkata rekod perkhidmatan bakal menjadi penentu untuk rakyat membuat pilihan.

“Yang penting pengundi perlulah jalankan sedikit penyiasatan untuk mengetahui rekod perkhidmatan dan latar belakang setiap calon.

“Kita perlu faham, kita dalam proses memilih wakil rakyat, bukan pilih menteri. Jadi rakyat kena tahu bila nak pilih,” katanya.

Kerusi itu kini disandang Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun yang kini bertanding di kerusi Sepang mewakili PN.

Beliau menang kerusi Titiwangsa dengan majoriti kira-kira 4,000 undi menewaskan Johari dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen