Kerajaan tak mampu selesaikan semua masalah rakyat, kata PM UK


Rishi Sunak berkata kepercayaan terhadap partinya telah dirosakkan oleh PM sebelum ini Liz Truss. – Gambar AFP, 5 November, 2022.

PERDANA Menteri United Kingdom (UK) Rishi Sunak berkata kerajaan tidak dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi rakyat Britain.

Sunak yang dijangka mengumumkan kenaikan cukai £50 bilion (AS$56.9 bilion) dan pemotongan belanjawan memberitahu The Times pada Jumaat, kepercayaan terhadap Parti Konservatif telah dirosakkan oleh bajet “gula-gula” pemimpin sebelum ini Liz Truss, tetapi masyarakat tidak boleh mengharapkan kerajaan untuk “menyelesaikan setiap masalah”.

Beliau akan mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan berlaku jujur ​​tentang kesulitan ekonomi yang dihadapi UK dan “yakin” rakyat Britain akan menilai belanjawan musim luruhnya pada 17 Nov nanti sebagai bajet yang “adil dan bertimbang rasa”, lapor Sputnik.

Liz Truss, dilantik sebagai perdana menteri UK pada September bagi menggantikan bekas Perdana Inggeris Boris Johnson, dan hanya berkhidmat selama 44 hari.

Pada 20 Oktober, beliau mengumumkan peletakan jawatannya berikutan kritikan hebat terhadap rancangan ekonomi baharu kerajaan dan kemungkinan meningkatkan hutang awam bagi melaksanakannya.

Pada 25 Oktober, Raja Charles III melantik Rishi Sunak sebagai perdana menteri baharu. – Bernama, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen