Imran Khan ikrar teruskan protes


Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan cedera di kakinya selepas berdepan cubaan membunuhnya ketika beliau menyertai perhimpunan di bandar Wazirabad, wilayah Punjab. – Gambar AFP, 5 November, 2022.

BEKAS Perdana Menteri Pakistan Imran Khan semalam berikrar meneruskan bantahan sebaik sahaja kecederaan di kakinya pulih, akibat ditembak pada Khamis.

Bercakap di sebuah hospital selepas menjalani pembedahan Imran meminta penyokongnya mengadakan protes di jalanan sehingga Perdana Menteri Shehbaz Sharif meletak jawatan.

“Sebaik sahaja saya keluar hospital, saya akan berada di jalan raya,” kata Imran.

Beliau sekali lagi akan meminta orang ramai berkumpul di ibu negara Islamabad.

Cubaan membunuh Imran berlaku ketika beliau menyertai perhimpunan di bandar Wazirabad, wilayah Punjab.

Bekas perdana menteri itu mengetuai perhimpunan “Haqeeqi Azadi” (kebebasan sebenar) parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) menuju Islamabad bagi menuntut pilihan raya awal.

Imran, 70, terselamat daripada serangan itu.

Dalam kejadian itu 11 orang cedera manakala seorang penyokongnya terbunuh. 

Imran dikatakan sudah memperoleh maklumat bahawa serangan terhadapnya akan dilancarkan sama ada di bandar Wazirabad atau Gujarat.

Beberapa siri protes berlaku di seluruh Pakistan sejak serangan pada Khamis itu. – Bernama, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen