Amirudin nafi masih dibayangi Azmin


Calon Pakatan Harapan (PH) Amirudin Shari (tengah) akan bersaing dengan bekas timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali (kanan) di kerusi Gombak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 November, 2022.

CALON Pakatan Harapan (PH) Amirudin Shari menepis tanggapan beliau masih dipengaruhi bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dicabarnya di kerusi Gombak.

Menteri besar Selangor itu berkata beliau tetap setia kepada parti dan ia terbukti apabila beliau tidak mengikut Azmin yang menumbangkan kerajaan PH tahun 2020 dalam Langkah Sheraton.

“Itu pandangan lama. Sudah dua tahun lebih saya tak ikut jejak beliau. Kita ambil langkah setia dengan PH kerana dasar kita luas untuk kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

“Beliau ambil langkah memesong jalan lain dan melahirkan kerajaan tak stabil. Kalau saya ikut dia sudah pasti saya ikut beliau ke mana-mana,” kata Amirudin.

Ketua PKR Cabang Gombak itu berkata demikian kepada pemberita selepas disahkan bertanfing kerusi itu di pusat penamaan calon di SMK Sungai Pusu,

Azmin yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) turut disahkan bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama tiga penggal itu.

Kedua-dua mereka turut dilihat beramah mesra sebelum memasuki Dewan SMK Sungai Pusu untuk menghantar borang pencalonan masing-masing.

Azmin ketika bercakap kepada pemberita menganggap lawannya Amirudin sebagai sahabatnya dan berharap kempen akan berjalan lancar.

“Amirudin salah satu calon di Gombak, dia sahabat saya, sudah pasti saya jangkakan semua calon lakukan kempen mengikut prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya yakin proses kempen akan berjalan balik.”

Bekas menteri besar Selangor itu tetap berharap pengundi dapat menilai perkhidmatannya selama ini untuk memilih beliau sekali lagi sebagai ahli Parlimen.

“(Dikatakan) jika penyandang kita ada sedikit kelebihan tetapi pengundi matang, mereka mahu melihat calon dan penyandang berkhidmat kepada rakyat di kawasan.

“Saya yakin telah lakukan sedaya upaya bangunkan Gombak, saya telah berikan khidmat dan bakti sediakan prasarana, infrastruktur, sekolah, masjid, surau dan tempat ibadat kerana kita mahu Gombak makmur rakyat sejahtera.

“Sambutan cukup meyakinkan tetapi saya harus terus kerja kuat, saya tak ambil mudah, kematangan pengundi cukup tinggi mereka mahu lihat calon yang berupaya bentuk kerajaan bersih dan kuat.”

Seorang lagi calon yang disahkan bertanding kerusi Gombak ketua Umno bahagian itu Megat Zulkarnain Omardin yang melihat pertandingan itu sukar tapi bukan misi mustahil.

“Saya fikir semua calon ada peluang sama rata, saya juga percaya hampir 70% pengundi Gombak dah buat keputusan siapa mereka nak undi pada PRU15.

“Ia bukan perjalanan mudah kerana saya faham bersaing dengan mereka yang ada kekuatan agensi kewangan, tapi tak menjadi ukuran, rakyat boleh menilai.

“Ini bukan misi mustahil kita boleh buat perkiraan nanti. Tidak ada benda mustahil dalam politik, ia sangat dinamik. Semua boleh berlaku,” katanya.

Dua lagi calon Jamaludin Mhd Tahir yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan lambang Pejuang dan calon Bebas Zulkifli Ahmad.

Selebriti Azwan Ali, yang juga adik kepada Azmin turut hadir namun menarik diri di saat-saat akhir pencalonan.

Beliau hadir menaiki motosikal bersama penyokong PH namun tidak memasuki pusat penamaan calon.

Penyokong parti bertanding mula berarak dari lokasi berkumpul menuju ke Dewan SMK Sungai Pusu seawal pukul 8.20 pagi dengan bendera masing-masing.

Proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi dan ditutup sejam kemudian. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen