8 tanding Parlimen Sepang, termasuk ketua wanita Bersatu, Amanah, Pejuang


Polis berkawal di pusat penamaan calon di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi bagi Parlimen Sepang pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

LAPAN calon bersaing di kawasan Parlimen Sepang, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk tiga ketua sayap wanita Bersatu, Amanah, dan Pejuang yang mewakili gabungan masing-masing.

Ketua Wanita Bersatu Rina Harun mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu mewakili Pakatan Harapan (PH), dan Ketua Wanita Pejuang Che Asmah Ibrahim mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

GTA yang belum didaftarkan bertanding dengan lambang Pejuang.

Pegawai Pengurus PRU15 Sepang Abdul Hamid Hussain mengumumkan pengesahan lapan calon itu selepas proses penamaan calon dan bantahan di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi selesai.

Selain tiga ketua sayap wanita itu, turut disahkan pencalonannya ialah Naib Ketua Umno Sepang Anuar Basiran yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Tiga calon bebas juga bertanding iaitu Mohd Syahrul Amri Din Mat Sari, Munewaran Muthiah dan Mohd Daud Leong (Parti Utama Rakyat).

Sepang yang diwakili MCA dari Perikatan sejak PRU 1959 sebelum diwakili Umno dari Barisan Nasional (BN) sejak 1974. Dominasi BN pecah pada 2013 apabila kerusi itu dimenangi PAS.

Pada pilihan raya umum lepas, PH memenangi Sepang melalui calon Amanah Hanipa Maidin dengan majoriti 18,705.

Hanipa tidak dicalonkan semula pada pilihan raya kali ini kerana masalah kesihatan, kata Amanah. Beliau bagaimanapun menafikan kesihatannya punca beliau digugurkan.

Sepang adalah kawasan majoriti pengundi Melayu sebanyak 65% manakala pengundi Cina 20% dan India 14%. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen