SEBUAH makmal DNA bergerak diletakkan di Izyum, timur Ukraine minggu ini bagi memudahkan waris mengenal pasti mayat ahli keluarga mereka.
Kira-kira 50 individu datang pada Jumaat untuk menyerahkan sampel DNA di sebuah tempat letak kenderaan di Izyum.
“Saya mencari bapa saya Anatoly Matyshko. Jirannya beritahu dia dibunuh pada 10 Mac dan ditanah di kebunnya,” kata Inna Kupriyanova.
“Mayatnya digali semula dan dibawa ke rumah mayat Khakriv, tetapi ada mayat lain turut ditemui di kebun yang sama.
“Jadi saya datang beri DNA saya supaya kami dapat mengenal pasti bapa saya dan memberikannya pengembumian yang sempurna,” katanya.
Waris memberikan sampel air liur mereka sebagai DNA di dalam sebuah van kecil berwarna putih.
Ada juga diminta membawa barangan peribadi – berus gigi terutamanya – milik individu yang hilang.
“Makmal LAB’ADN” adalah kenderaan dikendalikan jabatan forensik Perancis (IRCGN).
Ia dapat melakukan analisis genetik terhadap sampel bilogi dalam kuantiti besar.
Paris berjanji untuk menghantar satu lagi makmal bergerak itu ke Ukraine akhir tahun ini, kata duta Perancis.
Pada pertengahan September, pihak berkuasa menemui ratusan kubur ditanda dengan salib dan nombor di sebuah hutan berhampiran Izyum, yang diduduki askar Russia selama hampir enam bulan.
Sebanyak 450 mayat digali semula dan dihantar untuk dikenal pasti identitinya di rumah mayat Kharkiv. – AFP, 5 November, 2022.
Komen