Imran Khan dakwa PM Sharif ada kaitan dengan plot bunuh


Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan mendakwa perdana menteri sekarang terbabit dalam plot membunuhnya. – Gambar AFP, 5 November, 2022.

BEKAS perdana menteri Pakistan Imran Khan mendakwa perdana menteri sekarang terbabit dalam plot membunuhnya, dan beliau kini sedang dalam proses pulih daripada kecederaan tembakan.

Khan memberitahu media, Shehbaz Sharif yang menggantikannya susulan undi tidak percaya pada April, menjadi dalang dalam serangan cubaan bunuh itu bersama Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah dan seorang komander tentera.

“Mereka beriga mahu membunuh saya,” kata Khan dalam penampilan awam yang pertama sejak insiden tembak pada Khamis itu, menambah dua penembak terbabit dalam kejadian itu.

Kerajaan menafikan dakwaan itu, berkata cubaan bunuh itu dilakukan seorang penyerang yang didorong motif ekstrem agama.

Tentera mendakwa tuduhan Khan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Serangan terhadap konvoi Khan itu menyebabkan seorang terbunuh dan 10 yang lain cedera.

Krisis politik di Pakistan semakin memuncak sejak Khan digulingkan.

Bekas bintang kriket dunia berusia 70 tahun itu mengetuai koncoi kempen ribuan penunjuk perasaan sejak minggu lalu dari Lahore ke Islamabad.

Duduk di kerusi roda – kaki kirinya berbalut – Khan bercakap lebih sejam, menuduh kerajaan menggulingkannya.

Beliau berkata lawannya mahu menyalahkannya dan kumpulan ekstremis agama mahu membunuhnya.

Khan bagaimanapun tidak mengemukakan bukti terhadap dakwaannya itu. – AFP, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen