PTI adakan protes bantah cubaan bunuh bekas PM Pakistan


Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan ditembak di kakinya semasa perarakan PTI di bandar Wazirabad semalam. – Gambar AFP, 4 November, 2022.

PARTI pembangkang Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) akan mengadakan perhimpunan bantahan di seluruh negara pada Jumaat, sehari selepas insiden cubaan membunuh bekas perdana menteri Imran Khan, lapor Sputnik.

“Satu perhimpunan bantahan di seluruh negara akan berlangsung hari ini selepas solat Jumaat,” kata bekas Menteri Penerangan Pakistan, Fawad Chaudhry menerusi Twitter.

Serangan ke atas Khan berlaku semasa perarakan PTI di bandar Wazirabad semalam.

Bekas perdana menteri itu ditembak di kakinya ketika beliau keluar dari trak kontena khas.

Penembak mendakwa dia bertindak sendirian.

PTI menganjurkan protes untuk menuntut pilihan raya diadakan dan penunjuk perasaan berhasrat untuk sampai ke Islamabad menjelang 11 November.

Protes sebelum ini berlaku pada 25 Mei apabila beribu-ribu penyokong Khan tiba di Islamabad yang kemudian mencetuskan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.

PTI memutuskan untuk menghentikan protes bagi mengelakkan pertumpahan darah. – Bernama, 4 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen