Acara 'street cheering' sempena Piala Dunia batal susulan tragedi Itaewon


Insiden rempuhan pengunjung sempena sambutan Halloween di daerah Itaewon yang meragut 156 nyawa. – Gambar AFP, 4 November, 2022.

BADAN induk bola sepak Korea Selatan hari ini mengumumkan acara “street cheering” sempena meraikan berlangsungnya Piala Dunia Fifa akan dibatalkan sebagai menghormati mangsa yang terkorban dalam insiden rempuhan di Itaewon, Seoul baru-baru ini, lapor Yonhap.

Menurut Persatuan Bolasepak Korea (KFA) pihaknya akan menarik balik permohonan untuk menggunakan Dataran Gwanghwamun di Seoul bagi mengadakan acara itu. 

Piala Dunia bakal berlangsung pada 20 November hingga 18 Disember.

Keputusan itu dibuat berikutan insiden rempuhan pengunjung sempena sambutan Halloween di daerah Itaewon yang meragut 156 nyawa, menurut KFA.

“Kami bekerjasama dengan majlis perbandaran Seoul untuk menganjurkan acara sorakan itu tetapi selepas mengadakan perbincangan panjang lebar kami memutuskan tidak wajar untuk dilakukan dalam tempoh kurang sebulan selepas tragedi Itaewon dan kami ingin memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga mereka,” menurut KFA.

Acara itu mula diadakan di Korea Selatan pada 2002 ketika negara itu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama Jepun. – Bernama, 4 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen