SIDANG Kemuncak Pelaburan Pemimpin Kewangan Antarabangsa anjuran Jabatan Pentadbiran Kewangan Hong Kong selama dua hari membuka tirainya di Hong Kong pada Rabu.
Bertemakan “mengendalikan pasaran yang tidak menentu”, sidang itu menarik penyertaan lebih 200 wakil dari kira-kira 120 agensi kewangan di seluruh dunia.
Difahamkan, peserta akan berinteraksi mengenai cabaran dan peluang dihadapi sektor kewangan global termasuk kenaikan kadar faedah, unsur tidak menentu ekoran krisis stagflasi, sains teknologi dan pembangunan mampan.
Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka Chiu dalam ucapannya berkata Hong Kong merupakan wahana penting yang menghubungkan kawasan pedalaman China dengan pelbagai tempat di dunia.
Menurut beliau, seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke timur, entiti ekonomi yang berkembang pesat di rantau ini akan menjadi enjin utama dan sumber peluang perniagaan bagi peningkatan ekonomi global.
“Hong Kong akan mendapat manfaat daripada trend tersebut. Di samping itu, kelebihan Hong Kong dalam bidang tenaga insan, infrastruktur dan teknologi akan membantu syarikat dan modal dari kawasan pedalaman China ke luar dan menarik pelaburan syarikat serta modal dari arena antarabangsa,” kata Lee.
Menurut data, sektor perkhidmatan kewangan Hong Kong menyumbang AS$76 bilion (RM361 bilion), yang menduduki 23.4% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di wilayah itu pada 2020.
Pada 2021 pula, jumlah Urusan Bursa Saham Hong Kong (HKEX) mencatat rekod baharu iaitu AS$5.2 trilion (RM24.7 trilion) sementara aset pengurusan sektor insurans Hong Kong melebihi AS$4.5 trilion (RM21.4 trilion) yang menduduki tempat pertama di Asia dan tempat kedua di dunia.
“Statistik itu jelas memperlihatkan kelebihan Hong Kong dalam perkhidmatan kewangan,” kata Lee.
Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-po dalam sidang kemuncak berkenaan menyatakan bahawa Hong Kong berprestasi baik dalam pengumpulan modal, keantarabangsaan RMB dan pengurusan kekayaan.
Beliau berkata Hong Kong juga akan terus mengembangkan kewangan hijau dan teknologi kewangan. – Bernama, 4 November, 2022.
Komen