Kes rogol Tariq Ramadan calar integriti Perancis


22 Februari yang lalu, hakim telah menolak rayuan pembebasan tokoh terkemuka intelektual Muslim khususnya di Eropah, Tariq Ramadan daripada penjara, atau lebih tepat Penahanan Ketenteraan. 

Sejak daripada kempen #MeToo yang mersik di Perancis, tidak ketinggalan Tariq Ramadan juga mengalami nasib yang sama: dituduh dengan tuduhan rogol oleh dua wanita. Yang menariknya, Tariq Ramadan adalah satu-satunya yang tertuduh menerima penahanan ketenteraan meskipun perbicaraan sedang dijalankan dan dari segi-segi undang-undang, Tariq Ramadan belum disahkan bersalah.  

Tariq Ramadan tidak dibenarkan menghubungi sesiapapun, termasuk ahli keluarganya, dan dinafikan daripada sebarang rawatan (ketika beliau menderita penyakit multiple sclerosis). Beberapa minggu yang lepas, sakit beliau semakin parah dan penjara hanya membenarkan seorang doktor bebas untuk merawatnya selama hanya 15 minit. 

Tariq Ramadan, 55, seorang cendekiawan Switzerland, dan cucu kepada tokoh terkemuka Hassan Al-Banna, telah dituduh dengan dua tuduhan rogol.

Henda Ayari, 41, seorang aktivis feminis yang konservatif dan kemudiannya bertukar menjadi pejuang sekular tegar, mengaku telah dirogol oleh Tariq Ramadan di Paris pada tahun 2012. Seorang lagi wanita muslim yang telah murtad dan hanya mahu dikenali sebagai Christelle, mengaku telah dirogol oleh tokoh berkenaan di kota Lyon pada 2009. 

Tariq Ramadan dengan sendirinya terbang ke Perancis, menawarkan diri untuk disoal siasat selepas meletak jawatan sebagai pensyarah di Universiti Oxford, kemudiannya ditangkap dan ditahan serta-merta. 

Menurut kenyataan media yang diterbitkan 10 Februari yang lalu oleh Free Tariq Ramadan Campaign, Tariq Ramadan telah menjadi sasaran politik dengan wajah penyiasatan jenayah.

Pendakwaan yang dikenakan sangat meragukan, malah menurut mereka, ada “tangan dalam” yang mahukan Tariq Ramadan didiamkan. 

Peguam beliau telah mendedahkan bukti berupa tiket kapal terbang yang menunjukkan bahawa Tariq Ramadan berada dalam penerbangan ke Paris semasa beliau dikatakan merogol Henda Ayari.

Bersama dengan bukti kukuh itu juga bukti-bukti lain yang menunjukkan berlakunya major discrepancy, iaitu Henda Ayari telah menghantar sebanyak 280 mesej ke inbox Tariq Ramadan dalam tempoh dua tahun selepas beliau “dirogol”. 

Begitu juga tiket penerbangan dari London ke Lyon pada waktu yang sama beliau dituduh merogol “Christelle”, dikemukakan dengan salinan asli daripada syarikat kapal terbang. 

Walau bagaimanapun, Majistret Perancis Michael Debacq menafikan bukti-bukti ini dengan alasan berlakunya konflik kepentingan dan bukti-bukti ini tidak sah berdasarkan undang-undang kehakiman Perancis. 

Selepas dua bulan bukti-bukti tersebut dihantar, peguam beliau mendapat tahu bahawa dokumen tersebut telah “hilang”. Apabila disoal bagaimana ia boleh hilang, pada 1 Februari bukti tersebut tiba-tiba menjelma dengan rupa yang lain, bukan lagi yang asli, dan pada 2 Februari Tariq Ramadan ditahan serta-merta. 

Tiada langsung maklumat berkenaan dengan bagaimana proses bukti itu disahkan semula selepas hilang. Kelambatan ini menyebabkan alibi untuk mengatakan Tariq Ramadan tidak bersalah mula samar. Jika di Amerika Syarikat, Tariq Ramadan akan segera dibebaskan kerana ketidakcukupan bukti, tetapi tidak di tempat yang tiada siapa peduli, Perancis. 

Kuasa Kehakiman mengatakan bahawa mereka sangat mengambil berat isu ini dan meletakkan tiga hakim, bukan hanya seorang, untuk menghakimi kes ini. Ketika satu-satunya alibi yang kuat telah “hilang” di tangan Kuasa Kehakiman Perancis. 

Menurut Alain Gabon di dalam artikel beliau Is Tariq Ramadan going to get a fair trial in France?”,  kes ini menjadi semakin absurd dan kemungkinan untuk Tariq Ramadan dinafikan bersalah sangat tipis.

Peguam beliau sendiri dinafikan keizinan untuk menyemak fail kes ini dan menyatakan proses kehakiman tidak langsung melihat percanggahan konsistensi yang berlaku. 

Walaupun kes ini masih lagi dalam siasatan, tetapi proses yang dijalankan telah mencalarkan integriti sistem kehakiman Perancis, menafikan hak asasi manusia (Tariq Ramadan dinafikan rawatan harian beliau) dan sekaligus menimbulkan tanda tanya yang besar kepada penerimaan pihak berkuasa Eropah terhadap cendekiawan Muslim (ketika tidak ada satu pun media utama Eropah menerbitkan berita yang sebenar tentang apa yang berlaku). – 4 Mac, 2018.

*Hafizul Faiz adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen