Dr Mahathir dengar cakap siapa?


Izmil Amri

RAMAI orang akan mendengar cakap Dr Mahathir Mohamad. Hatta mereka yang menganggapnya musuh pun akan memberi perhatian kepada percakapan yang keluar daripada mulut beliau. Apatah lagi golongan yang bergantung harap kepada hikmah dan kebijaksanaan seorang Dr Mahathir.

“Ya Tun, saya setuju Tun.” Demikianlah zikir mereka sehari-hari.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah: Dr Mahathir dengar cakap siapa?

Pentingnya persoalan ini – bagi Dr Mahathir, untuk menentukan apa sahaja baki legasi yang tersisa tidak akan terbazir ke lembah gelap sejarah politik Malaysia.

Meski legasi beliau itu tidaklah menjadi hal untuk ramai orang yang sejak dulu, kini dan selamanya membenci sosok dirinya.

Berdasarkan sedikit pengalaman, kita mengetahui bahawa Dr Mahathir adalah orangnya yang tidak selektif dalam mendengar pendapat.

Se-“kanyaq” mana pun, Dr Mahathir akan duduk mendengar pendapat seseorang individu, sambil merangka apakah jawapan balas yang sesuai untuk membuktikan bahawa hikmah dan kebijaksanaan beliau itu adalah melampaui batasan pemikiran orang yang cuba berhujah dengannya.

Selalunya, orang itu akan terdiam. Sama ada setuju, atau tidak lagi larat untuk meneruskan perbincangan. Dan Dr Mahathir akan kekal tersenyum. Menang.

Daim Zainuddin juga khabarnya mempunyai modus operandi yang lebih kurang sama. Daim dikhabarkan suka bertanya pendapat orang, dalam rangka memperkukuhkan maklumat yang sudah beliau ketahui.

Kalau bukan beliau sendiri yang berbual dan bertanya, akan ada orang lain dihantar untuk duduk bersembang dan mengorek maklumat yang dia perlukan.

Kata orang, Daim bertanya, kerana beliau sudah tahu jawapannya. Sepertimana Dr Mahathir.

Pun begitu, meski mungkin Dr Mahathir sendiri tidak akan mengaku, sebenarnya ada juga benda-benda yang beliau tidak tahu, dan kerana itulah, beliau memerlukan orang untuk memberitahunya.

Masalah timbul apabila tukang beritahu itu pun sebenarnya tidaklah cerdik setara mana. Lalu memberi maklumat-maklumat merepek. Intel yang membawa rebah. Seperti yang dapat dilihat dalam kesudahan menyedihkan bagi parti Dr Mahathir pada pilihan raya negeri Johor tempoh hari.

Namun barang yang lepas jangan dikenang. Apa yang penting hari ini ialah jalan ke hadapan. Dan bagi parti Dr Mahathir, jalan ke hadapan itu tidak kelihatan mudah.

Maka penting untuk kita bertanya: Dr Mahathir dengar cakap siapa?

Tuan Punahsihat

Pada pilihan raya umum negeri Johor awal tahun ini, Pejuang bertanding di 42 daripada 56 kerusi. Pendeknya, di mana ada Umno, di situ Pejuang menyusup.

Semuanya kalah, dan hilang wang deposit. Malah jumlah besar undi yang diterima Pejuang adalah sekitar 18,000. Muda, sebuah parti yang bertanding di hanya tujuh kerusi, memperolehi lebih 50,000 undi.

Dari satu sudut, meletakkan calon di 42 kerusi adalah langkah publisiti untuk memperkenalkan jenama baharu politik Dr Mahathir di negeri kubu kuat Umno.

Tapi itulah. Umno dan BN berjaya membenam habis parti Pejuang, selain menawan semula negeri Johor dengan menewaskan parti-parti Pakatan Harapan (termasuk PKR yang hanya menang satu kerusi dengan bermodalkan logo sendiri).

Dari sudut ini, kita tidak dapat mengelak daripada bertanya – siapakah si bijak pandai yang menasihati Pejuang supaya menyusun strategi yang begitu optimis dan penuh yakin; sehinggakan majoriti kerusi ditandinginya hangus rentung tidak berbaki.

Apakah jenis culaan dan bacaan politik yang diguna pakai sehingga Dr Mahathir Mohamad, orang yang tidak pernah kalah dalam pilihan raya, akhirnya terpaksa akur dengan takdir yang begitu memalukan?

Adakah metodologi yang sama turut digunakan dalam PRU ke-15 kali ini, ketika Gerakan Tanah Air (GTA) mengumumkan untuk meletakkan calon di 121 kerusi?

Ya, berangan memang percuma, tapi pencalonan memerlukan wang deposit. Kaya sungguh GTA ini.

Sebut tentang GTA, cerdik pandai mana pula yang menasihatkan supaya Pejuang bergabung tenaga dengan parti-parti politik paling kurang toleransi kaum dalam sejarah tanah air Malaysia? Dan, kenapa nasihat itu didengar?

Antara calon GTA termasuklah Aminuddin Yahaya, mantan presiden Isma dan Pembela. Aminuddin terlibat sama dalam menyusun perhimpunan menolak ratifikasi ICERD yang dicadangkan bawah pentadbiran kabinet Dr Mahathir. ICERD adalah sebuah konvensyen antarabangsa untuk menghapuskan diskriminasi kaum.

GTA turut mencalonkan Timbalan Presiden Berjasa Rosli Ramli di Putrajaya. Rosli merupakan bos Studio Kembara yang menerbitkan filem Mat Kilau bersama seorang lagi pimpinan Isma, Abdul Rahman Mat Dali.

Isma adalah pertubuhan penuh kontroversi yang sangat tidak mesra bukan-Melayu.

Berakhirnya legasi?

Latar semua ini tentunya adalah Wawasan 2020 yang telah ditinggalkan. Tentunya bersekali dengan cabaran bangsa Malaysia yang digagaskan Dr Mahathir sendiri sebagai perkara nombor wahid dalam sembilan matlamat utama wawasan tersebut.

Sebenarnya kita boleh sahaja faham bagaimana negara ini masih bertatih membentuk sebuah negara bangsa yang tidak lagi berpusatkan politik teritorial dan perkauman. Bangi kawasan Melayu, Bukit Bintang kawasan Cina; ini semua mentaliti yang sepatutnya sudah kita tinggalkan. Tetapi masih belum berjaya.

Atas sebab itu, politik Malaysia masih lagi memerlukan sebuah parti Melayu; maka Pejuang ditubuhkan sebagai sebuah alternatif kepada Bersatu, sebuah lagi parti yang ditubuhkan sebagai sebuah alternatif kepada Umno. Umno itu pula adalah sebuah Umno yang menjadi alternatif kepada Umno lama, yang telah diharamkan.

Parti Melayu inilah yang menjadi andalan untuk mendapatkan undi orang Melayu totok yang tidak akan memangkah selain Barisan Nasional. Pada PRU14, kita menyaksikan Mahathir dan partinya memecahkan deposit-deposit tetap Umno serta membawa lari undi orang Melayu, lalu mengusung Pakatan Harapan ke Putrajaya. Muhibah, cerminan majmuknya rakyat Malaysia. Malang usianya singkat.

Lalu di persimpangan ini, di saat negara sekali lagi mencari hala tuju untuk memutuskan kerajaan jenis apa, yang akan memacu negara ke arah yang bagaimana; kenapakah Dr Mahathir membiarkan legasinya dipandu nasihat-nasihat yang tidak semenggah?

Bukan tak ada orang cerdik pandai dalam Pejuang. Jadi soalnya, Mahathir dengar cakap siapa? – 3 November, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen