Muda umum Mutalib tanding Masjid Tanah


Muda hari ini mengumumkan calonnya, Mutalib Uthman yang akan bertanding di Masjid Tanah pada PRU15. – Gambar Facebook, 3 November, 2022.

PARTI Muda mengumumkan aktivisnya Mutalib Uthman akan bertanding di kawasan Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, satu lagi kerusi yang disandang anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Muda dengan ini akan bertanding 6 kerusi, yang 4 daripadanya setakat ini akan dipertahankan oleh penyandang yang juga menteri dan timbalan menteri.

Mutalib pada minggu lalu mengumumkan akan bertanding Tapah, namun kemudian memohon maaf selepas PKR menjelaskan kerusi itu akan kekal ditandingi calon parti tersebut.

Muda menyifatkan Mutalib sebagai calon yang banyak berkhidmat meningkatkan kualiti pendidikan dan terlibat berusaha memberi nafas baru politik dalam pelbagai organisasi.

Masjid Tanah dikuasai timbalan menteri pembangunan usahawan daripada Bersatu, Mas Ermieyati Samsuddin sejak PRU13.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 16,000 pada 2013, yang kemudian susut ke sekitar 8,000 dalam PRU 2018.

PN mengumumkan bekas ketua Puteri Umno itu akan mempertahankan kerusi tersebut.

Lima lagi calon Muda yang diumumkan termasuk jurutera Daniel Abdul Majeed (Kepala Batas),  aktivis pendidikan Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang) dan peguam Lim Wei Jiet (Tanjong Piai).

Muda juga mengumumkan naib presidennya Shahrizal Denci di Kota Marudu manakala presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mempertahankan Muar.

Daniel akan berdepan menteri perumahan Reezal Merican Naina Merican di Kepala Batas manakala Lim akan mencabar Wee Jeck Seng dari MCA yang menang kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

BN masih belum mengumumkan calon bagi berdepan Siti Rahayu di Tanjong Karang, kerusi yang selama ini dikuasi orang kuat Umno Noh Omar.

Di Kota Marudu, Sharizal berpan menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak  Maximus Ongkili yang akan mempertahan kerusi itu.

Di Muar, Syed Saddiq akan berdepan Mohd Helmi Abd Latiff dari Umno. – 3 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen