Kajian dapati cacar monyet menular lebih awal sebelum gejala muncul


Saintis berkata jangkitan cacar monyet tidak dapat dicegah dengan meminta pesakit mengasingkan diri sebaik sahaja menyedari mereka dijangkiti virus itu. – Gambar EPA, 3 November, 2022.

INDIVIDU yang menghidap cacar monyet boleh menyebarkan virus sehingga empat hari sebelum simptom muncul, dengan lebih separuh daripada penularan berpotensi berlaku dalam tempoh ini, menurut satu kajian di United Kingdom (UK) pada Selasa.

Walaupun penemuan itu masih belum disahkan, mereka mencadangkan banyak jangkitan cacar monyet tidak dapat dicegah dengan meminta pesakit untuk mengasingkan diri sebaik sahaja menyedari mereka mempunyai virus itu, kata kajian itu.

Sejak Mei, apabila virus itu mula merebak ke luar negara Afrika Barat yang sekian lama menjadi endemik, cacar monyet meragut 36 nyawa daripada lebih 77,000 kes, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Bagaimanapun, bilangan kes terus menurun sejak ia memuncak pada Julai, terutamanya di Eropah dan Amerika Utara, kawasan yang paling teruk terjejas pada peringkat awal wabak global.

Kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ itu dijalankan di Britain, negara pertama yang mengesan sekumpulan kes di luar Afrika pada Mei.

Penyelidik dari Agensi Keselamatan Kesihatan UK melihat data pengesanan kontrak dan soal selidik terhadap 2,746 individu yang diuji positif cacar monyet di negara itu antara Mei dan Ogos.

Kira-kira 95% daripada responden adalah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Menganalisis data menggunakan dua model statistik yang berbeza, para penyelidik mendapati ia mengambil tempoh purata hampir lapan hari untuk gejala muncul selepas pesakit terdedah.

Tempoh itu lazimnya lebih lama daripada masa antara kes pesakit pertama dan kontak menunjukkan simptom, yang dipanggil selang bersiri.

“Selang bersiri median dianggarkan lebih pendek daripada tempoh inkubasi, yang menunjukkan penularan pra-gejala lebih besar daripada disangka sebelum ini,” kata kajian itu.

Sebanyak 53% daripada kes ditularkan sebelum individu berkenaan mengalami sebarang gejala cacar monyet, menurut anggaran kajian itu.

Penularan dikesan maksimum empat hari sebelum gejala berlaku, tambahnya.

Gejala cacar monyet termasuk demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul.

Boghuma Kabisen Titanji, pakar virus di Universiti Emory di Amerika Syarikat yang tidak terlibat dalam kajian itu, berkata “analisis kukuh” itu “menarik dan meyakinkan”.

“Ini memerlukan pengesahan lebih banyak kajian tetapi mempunyai implikasi terhadap strategi penghapusan penyakit berasaskan vaksin yang harus dipertimbangkan dengan serius,” katanya. – AFP, 3 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen