Tak dibenar guna ‘pentas’, Dr Mahathir ceramah atas pikap 


Amin Iskandar Gan Pei Ling

Dr Mahathir berucap atas lori pikap selepas polis tidak membenarkan ceramah diadakan di atas pentas yang sudah disediakan. Hampir 4,000 orang datang ke Taiping, Perak malam tadi untuk mendengar ceramahnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Mac, 2018.

POLIS tidak membenarkan Pakatan Harapan (PH) menggunakan trak yang dijadikan pentas ceramah pada program di Taiping, Perak malam tadi.

Disebabkan itu, penganjur ceramah Jejalah PH terpaksa membawa masuk lori pikap untuk dijadikan pentas ceramah.

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, 92, dan pemimpin lain terpaksa memanjat lori pikap itu untuk berucap di hadapan lebih kurang 4,000 hadirin.

“Saya sudah jadi perdana menteri 22 tahun. Bukanlah niat saya nak jadi perdana menteri sekali lagi, dah cukup dah 22 tahun.

“Demikian juga dengan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan, mereka memang pun ahli politik, tetapi mereka bukan bergantung dalam Pakatan Harapan kerana teringin nak jadi menteri,” kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu sebaliknya berkata, parti-parti dalam PH bergabung kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk menjatuhkan “kerajaan kleptokrat” pimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

“Itulah hasrat kita. Bukan untuk diri sendiri. Tetapi kerana kita berpendapat bahawa Najib sedang merosakkan negara.

“Kita ketepikan fahaman yang berbeza-beza, kita membuat Pakatan Harapan supaya dapatlah kita menggembleng tenaga untuk jatuhkan Najib,” katanya disambut dengan sorakan.

Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu pula menyelar pihak berkuasa kerana menghalang penganjur daripada menggunakan trak sebagai pentas ceramah.

“Kalaulah kapal Jho Low lintas Selat Melaka, polis Malaysia berani tangkap atau tidak?” soal Mohamad sambil disambut dengan jeritan “tidak” daripada hadirin.

“Kerana bos mereka Najib Razak mengajar polis supaya tekan rakyat bukan lawan musuh negara.”

Kalaulah kapal Jho Low lintas Selat Melaka, polis Malaysia berani tangkap atau tidak, tanya Presiden Amanah Mohamad Sabu malam tadi selepas pemimpin pembangkang tidak dibenarkan berucap di pentas disediakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Mac, 2018.

Mohamad merujuk kepada kapal mewah ahli perniagaan Low Taek Jho yang dirampas pihak berkuasa Indonesia di Bali, baru-baru ini.

Mohamad berkata, ketenteraman program PH malam tadi diganggu pihak polis.

“Sepatutnya urus program dengan baik kalau tak di sini kita dah mintak di Lake Garden, tempat yang luas.

“Pengikut kami ramai! Kalau kami ambil alih pemerintahan nanti, kita akan hidupkan dan suburkan proses demokrasi di Malaysia,” katanya.

Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata, Najib dan Barisan Nasional (BN) “angkuh” dan tidak merasai penderitaan rakyat di bawah.

“Sebab itulah mereka tekan rakyat dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Mereka (BN) tidak merasakan bebanan dan kesusahan rakyat di bawah, marilah kita tumbangkan mereka pada PRU14 kerana inilah peluang terbaik kita,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu. – 4 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Kalaulah kapal Jho Low lintas Selat Melaka, polis Malaysia berani tangkap atau tidak, tanya Presiden Amanah Mohamad Sabu malam tadi selepas pemimpin pembangkang tidak dibenarkan berucap di pentas disediakan"

    Jawapan dia tak boleh tangkap sebab dia ada diperairan antara bangsa melainkan diasinggah dimana mana pelabuhan di malaysia..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • "Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, 92, dan pemimpin lain terpaksa memanjat lori pikap itu untuk berucap di hadapan lebih kurang 4,000 hadirin."

    Sepertinya dia dapat merasakan apa yang dilakukan pada pas duku.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • Harap harap dia sedar lah apa yang dilakukan kepada pas dulu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan