Polis kenal pasti 28 lokasi panas di Kelantan 


POLIS Kelantan telah mengenal pasti 28 lokasi panas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata kesemua lokasi tersebut membabitkan sembilan kawasan Parlimen di seluruh negeri.

“Kawasan yang dikenal pasti itu dibuat berdasarkan kejadian pada pilihan raya lepas dan pertembungan calon-calon bertanding yang dijangka sengit,” katanya pada sidang media tangkapan dan rampasan rokok di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaki berkata pihaknya sentiasa melakukan risikan dan pemantauan di seluruh kawasan Parlimen bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan dalam keghairahan berkempen.

“Ketua polis daerah telah bersedia dengan cara tersendiri berdasarkan situasi di daerah masing-masing.

“Saya juga telah mengarahkan ketua polis daerah melakukan pemantauan terhadap ‘budak nakal’ daerah masing-masing kerana kadangkala mereka boleh mencetuskan pergaduhan serius,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Zaki berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kelantan telah melaksanakan perancangan khusus bagi memastikan aliran trafik pada hari pengundian dapat dikawal dengan baik. – Bernama, 2 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen