Arau hebat, Shahidan dahsyat


Noor Azam Shairi

Sejak berbulan-bulan sebelum ini, Shahidan Kassim memilih jalan untuk berlaga dengan Umno dan beliau juga lantang menyeru parti itu supaya lembut hati dan sedia untuk berpakat dengan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2022.

DUA tiga minggu sebelum Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen, bahang pilihan raya sudah hangat dirasai – setidak-tidaknya di Arau, Perlis. 

Semua 130 cawangan Umno di Arau ketika itu sudah membuka bilik gerakan untuk memenangkan penyandangnya Shahidan Kassim sekali lagi dalam pilihan raya. Buka awal.

“Setiap kali pilihan raya, memang macam itu. Dia selalu siap awal,” kata seorang anak Perlis yang giat berkecimpung dalam politik negeri.

Tetapi persiapan lebih awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – pilihan raya yang kelapan bagi Shahidan – kali ini mempunyai makna yang lain. 

Orang melihatnya semacam isyarat Shahidan kepada pimpinan parti bahawa beliau calon boleh menang yang disukai pengundi dan jenteranya sudah cukup bersedia. Pendek kata, tiada calon lain yang layak dan sesuai kecuali Shahidan.

Shahidan mungkin sebelum ini sangat percaya diri beliau akan jadi calon semula. Tetapi sebagai ahli politik lebih empat dekad beliau tentu sekali dapat membaca tanda dan isyarat. 

Beliau duduk di jalur yang tidak sama dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan itu satu perkara yang sangat tidak berguna bagi ahli politik yang bercita-cita besar pada musim pilihan raya seperti ini.

Sejak berbulan-bulan sebelum ini, Shahidan memilih jalan untuk berlaga dengan Umno. Pada mesyuarat Umno Arau, Oktober 2021, Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar yang jadi tempat mesyuarat dihias dengan bendera Umno dan Bersatu. 

Ucapan Shahidan dan usul mesyuarat juga bertentangan dengan pendirian Umno yang ketika itu sudah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu untuk pilihan raya ini.

Sekurang-kurangnya sejak awal 2021, Shahidan antara suara yang lantang menyeru Umno supaya lembut hati dan sedia untuk berpakat dengan Bersatu – kalau mahu senang menang pilihan raya. 

Dalam kalangan sebahagian orang Umno, mereka melihat Shahidan ibaratnya “lebih Bersatu daripada orang Bersatu sendiri.”

Itu sebabnya selama ini orang memang sudah membayangkan Shahidan dan beberapa pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Zahid tidak akan jadi calon pilihan raya kali ini.

Jadi tidak hairan jugalah sebenarnya apabila Shahidan beberapa kali bercakap mengenai pentingnya parti memilih calon yang sangat diyakini boleh menang, calon tempatan dan bukan calon luar.

Dalam kalangan sebahagian orang Umno, mereka melihat Shahidan Kassim ibaratnya

Ketika Umno Perlis menghantar cadangan lima nama untuk dipertimbangkan sebagai calon, Shahidan berkata Umno Arau hanya menghantar namanya sebagai calon Parlimen. Kata Shahidan, itu bukan keputusannya tetapi keputusan Umno Arau.

Inilah kocak-kocak kecil politik di Arau sebelum ia meletup kelmarin (Isnin, 1 Nov) dan jadi perhatian nasional – lima hari sebelum penamaan calon dan kempen rasmi bermula.

Melalui satu posting di Facebook menjelang 10 malam Isnin, Shahidan mengesahkan semua bilik gerakannya di Arau tutup. 

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. 

“Kali pertama dalam sejarah,” katanya.

Cakap-cakap beberapa hari sebelum ini yang heboh dan riuh dalam kalangan orang Umno tentang Shahidan beberapa jam sebelum diyakini betul apabila tersebar rakaman video petugas bilik gerakan BN dari Arau mula membongkar khemah dan menurunkan bendera.

“Habis, habis… semua khemah sudah diruntuh, semua markas bilik gerakan PDM sudah dibuka… habis,” kata satu suara dalam video itu.

Video itu menunjukkan dua petugas bilik gerakan menanggal bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada kayu tiangnya sementara beberapa orang lain duduk di bawah khemah. 

Dalam satu potong rakaman lain, seorang lelaki mencabut tiang bendera BN yang dipasang di tepi jalan. “Kami protes, kami protes. Kami nak Datuk Seri, kami nak Datuk Seri,” kata satu suara di luar bingkai. “Datuk Seri” yang disebutnya merujuk pada Shahidan.

Gambar tangkapan skrin video menunjukkan dua petugas menanggal bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) di bilik gerakan parti itu di Arau. – Gambar tangkapan skrin, 2 November, 2022.

Shahidan, 71, lahir di Tambun Tualang, anak jati Arau. Umurnya dua tahun lebih tua daripada Ahmad Zahid Hamidi, sembilan tahun lebih tua daripada Ismail Sabri Yaakob, tetapi empat tahun lebih muda daripada Muhyiddin Yassin.

Dia mula jadi calon bertanding pilihan raya pada 1986 dan tidak pernah kalah. Mula-mula dua penggal jadi ahli Parlimen Arau, kemudian pindah bertanding negeri kerana mahu dijadikan menteri besar. Shahidan jadi menteri besar antara 1995 hingga 2008. 

Selepas pilihan raya 2008, Shahidan tidak dilantik semula jadi menteri besar kerana tidak lagi dapat perkenan Istana Perlis. Satu penggal itu dia cuma jadi wakil rakyat biasa dan lantang mengkritik penggantinya Md Isa Sabu.

Pada pilihan raya 2013, Shahidan kembali ke Parlimen dan mempertahankan sekali lagi kerusi itu pada pilihan raya 2018.

Rekod pilihan rayanya luar biasa. Dia panglima yang menumbangkan tokoh-tokoh besar dalam PAS. Pada 1990, dia mengalahkan Khalid Samad, ketika itu tokoh muda dan profesional dalam PAS yang sedang meningkat naik. Dua mursyidul am PAS pun pernah dikalahkannya: Haron Din dan Hashim Jasin.

Dalam kalangan peneliti politik termasuk orang parti, Shahidan dianggap orang yang bertanggungjawab menyusun dan mempertahankan Perlis daripada asakan pengaruh PAS. Perlis sehingga kini kekal negeri Umno dan BN – ketika parti Islam itu membina pengaruh naik ke atas dari utara Perak dengan sokongan dari Kelantan dan Terengganu.

Tetapi dalam kalangan pengundi Shahidan memiliki watak pemimpin yang memahami rakyat dan selalu bersama rakyat.

“Politik Shahidan ini politik personal touch,” kata seorang anak Perlis yang kini menetap dan mencari rezeki di Kuala Lumpur.

“Kalau ada 10 jemputan makan kenduri, orang beranak, orang meninggal, semua sepuluh, sepuluh dia akan sampai. Kalau dia tak sampai, duit akan sampai.”

Semua orang Perlis tahu kemurahan hati Shahidan. Mereka melihatnya seperti sosok setengah dewa – yang selalu muncul sebagai penyelamat dan penolong pada ketika susah. Pemimpin Umno pun tahu. Sangat tahu.

Yang tidak tahu, barangkali sesetengah orang yang rancak berbual politik di kafe di ibu kota Kuala Lumpur atau yang mengikuti perbualan politik di media sosial. 

Mereka ini tidak faham kenapa orang seperti Shahidan patut ada di Parlimen untuk membincangkan urusan negara, menentukan dasar dan menggubal undang-undang.

Mereka tidak tahu betapa dahsyat dan hebatnya seorang Shahidan dari Arau, Perlis.

Malam tadi, selepas ketika Zahid mengumumkan senarai calon BN, Shahidan memberitahu wartawan beliau akan bertanding juga di Arau. Beliau tidak menyebut dengan jelas tetapi membayangkan sedia bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN). 

Secara kebetulan, PN yang juga mengumumkan senarai calonnya malam tadi tidak menyenaraikan nama calon bagi Parlimen Arau. Ia akan diumumkan kelak, menurut dokumen senarai penuh yang beredar. – 2 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen