PEMULIHAN pascapandemik Covid-19, isu keselamatan dan peningkatan inflasi global dijangka menjadi agenda utama perbincangan pada Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan.
Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan berlangsung dari 11 hingga 13 November di ibu negara Kemboja, Phnom Penh.
Menteri Kao Kim Hourn menteri yang bertugas dengan perdana menteri Kemboja berkata sidang kemuncak itu penting dan strategik bukan sahaja buat Kemboja selaku pengerusi Asean untuk 2022, bahkan untuk seluruh Asean serta rakan dialognya.
Kim Hourn yang akan mengambil alih jawatan setiausaha agung Asean mulai Januari 2023 dalam temu bual dengan Xinhua baru-baru ini berkata usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik, isu keselamatan seperti konflik Rusia-Ukraine, Semenanjung Korea, peningkatan harga minyak dan makanan dunia serta perubahan iklim, akan dibincangkan pada sidang kemuncak itu.
“Inilah masa yang sangat kritikal kerana Kemboja bukan sahaja berada dalam peta serantau, malah dalam peta dunia untuk mengemudi dan mengharungi semua cabaran,” katanya.
Ketua pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Kemboja, cabang Akademi Diraja Kemboja Kin Phea berkata sidang kemuncak itu penting bagi mengekalkan dan mempromosi multilateralisme serta meletakkan asas dan platform untuk menangani cabaran utama yang dihadapi rantau ini dan dunia.
“Pandemik Covid-19, ketidakjaminan makanan dan tenaga dan persaingan kuasa adalah cabaran utama antara lain yang dihadapi Asean pada masa ini dan beberapa tahun akan datang.
“Seperti yang diutamakan oleh Kemboja, Asean perlu merealisasikan Komuniti Asean pasca-Covid-19 yang inklusif, mampan dan berdaya tahan. Justeru, Asean perlu mempercepat dan mengharmonikan lagi usaha pemulihan Covid-19 dengan pendekatan holistik dengan kerjasama pihak berkepentingan utama dan rakan kongsi luar,” katanya.
Pengerusi Institut Sumber Pembangunan Kemboja, Mey Kalyan berkata dunia kini melalui tempoh pergolakan yang sukar dalam semua aspek yang mengancam manusia daripada aspek keselamatan, makanan, ekonomi, tenaga dan perubahan iklim. .
“Memandangkan latar belakang ini, sidang kemuncak Asean yang akan datang sangat tepat pada masanya dan relevan, kami tidak menjangkakan banyak isu serius akan diselesaikan pada mesyuarat ini. Namun, semua pemimpin terkemuka mesti mempunyai kebijaksanaan dan keberanian untuk bertemu dan membincangkan isu yang paling mendesak sekarang,” katanya.
Beliau berkata para pemimpin perlu membincangkan cara untuk meningkatkan pemulihan ekonomi pascapandemik dan menangani isu keselamatan serta harga makanan dan tenaga yang tinggi untuk memastikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan pembangunan bersama untuk rantau ini dan dunia secara umum.
Profesor kanan di Universiti Antarabangsa BELTEI di Phnom Penh, Joseph Matthews percaya pemimpin Asean juga akan menyentuh kemajuan dalam pelaksanaan perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkuat kuasa awal tahun ini.
“Pakatan perdagangan mega serantau ini telah menjadi penggerak utama bagi pemulihan ekonomi rantau ini dalam era pascapandemik,” katanya.
Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 2 November, 2022.
Komen