Pejuang mahu selamatkan Melayu, bangsa lain


Noel Achariam

Matlamat Pejuang bertanding dalam PRU15 adalah bagi menyelamatkan orang Melayu dan kaum lain, kata Pengerusi Pejuang Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2022. 

MATLAMAT Pejuang bertanding pada pilihan raya umum akan datang adalah untuk menyelamatkan orang Melayu dan kaum lain kerana semua parti Melayu lain gagal menjaga mereka, kata Khairuddin Abu Hassan.

Pengerusi Pejuang Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan itu berkata adalah penting untuk memperjuangkan Malaysia yang kini dilihat sebagai negara kleptokrat.

“Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti dan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyelamatkan orang Melayu dan semua kaum di sini.

“Ini kerana semua parti Melayu lain yang ditubuhkan tahun lalu semuanya ‘rosak teruk’,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khairuddin tidak menafikan ketika Umno ditubuhkan ia adalah parti mulia yang memperjuangkan kemerdekaan dan menjaga kebajikan orang Melayu.

“Umno berada di landasan yang betul semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Tetapi sekarang mereka terlibat dengan rasuah. Malah PAS dan Bersatu mempunyai agenda politik mereka sendiri.

“Jadi kerana semua parti ini sudah hancur kita perlu membentuk parti yang lebih berprinsip untuk membimbing dan memartabatkan orang Melayu,” katanya.

Pada 7 Ogos 2020 Dr Mahathir mengumumkan parti baharu yang ditubuhkan olehnya dan beberapa ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kerana tidak menyokong presiden Bersatu ketika itu Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir berkata Pejuang akan mempertahankan tujuan asal Bersatu untuk memerangi kleptokrasi dan rasuah.

Pada 4 Ogos tahun ini Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA untuk menyasarkan pengundi Melayu dan Islam yang sudah muak dengan jenama politik Umno.

Bekas perdana menteri itu berkata gabungan itu terdiri daripada Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) and Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dr Mahathir yang akan bertanding semula di Langkawi berkata gabungan itu akan bertanding di semua 120 kawasan dengan majoriti Melayu pada PRU15.

Khairuddin berkata Malaysia pernah dilabel sebagai harimau Asia tetapi kini dikenali sebagai negara kleptokrat.

“Ini membimbangkan Dr Mahathir. Beliau seorang yang sangat berprinsip dan mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau menambah mereka mengharapkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

Katanya ini disebabkan tiada pemimpin lain di negara ini yang boleh memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan isu yang melanda negara sekarang.

“Tetapi jika beliau menjadi (perdana menteri) ia sepatutnya selama dua tahun sahaja. Kemukakan pelan induk baharu untuk membangun dan membaiki negara.  

“Kemudian adalah adil untuk Dr Mahathir berundur dan memberi laluan kepada pemimpin lain yang berkebolehan,” katanya.

Malaysia akan mengundi pada 19 November dengan pengundian awal pada 15 November. Hari penamaan calon pula pada 5 November. – 2 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen