Perikatan tanding 169 Parlimen, 116 DUN


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin malam ini mengumumkan gabungannya akan bertanding di 1689 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN pada PRU15, dan akan menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) malam ini mengumumkan untuk bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN di Perak, Perlis dan Pahang, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada majlis pengumuman calon gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau turut mengesahkan PN akan menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Semua rundingan kerusi kami selesai. Tidak ada pergaduhan atau pertengkaran,” katanya pada majlis pengumuman calon PRU15 PN di MITEC malam tadi.

Ketika mengumumkan senarai kerusi PRU15 malam ini, Muhyiddin akan mempertahankan Parlimen Pagoh manakala Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin juga akan pertahankan kerusinya di Larut selain Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu kekal tanding di Tambun.

Sebelum ini, PN sudah menamakan tiga calonnya yang akan bertanding iaitu Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin di Parlimen Putrajaya, Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun di Parlimen Sepang serta timbalannya Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, menjadi penyandang tunggal bertaraf menteri dan timbalan menteri digugurkan oleh PN.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai itu tidak disenaraikan sebagai calon PRU15 mewakili PN, ketika hampir semua penyandang kerusi Parlimen PN bertaraf menteri dan timbalan menteri kekal mempertahankan kawasan masing-masing.

Bagi menggantikan Dr Noor Azmi, PN meletakkan Naib Presiden PAS yang juga menteri agama Idris Ahmad di Bagan Serai.

Satu lagi penyandang bertaraf menteri yang tidak diumumkan ialah Dr Abdul Latiff Ahmad yang sudah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dalam PRU15.

Bagaimanapun, pengumuman calon PN oleh Muhyiddin itu tidak termasuk kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu, yang dijangka dimaklumkan esok atau lusa.

Berhubung penggunaan logo, Muhyiddin berkata negeri-negeri lain secara sepakat akan menggunakan logo PN pada PRU nanti.

Katanya keputusan itu berdasarkan rundingan yang disepakati oleh barisan kepemimpinan tertinggi PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, SUPP dan Star.

“Atas nama parti mana sekali pun persiapan dibuat atas nama PN…biarlah Bersatu, ada PAS, ada Gerakan dan parti di Sabah dan Sarawak.

“Tetapi PRU ini kita sudah sepakat sebahagian besar walaupun tak semua guna khemah PN, kita sudah minta untuk Kelantan dan Terengganu atas sebab tertentu…negeri berkenaan akan guna simbol parti PAS, hat bulan.

“Yang lain, kita akan guna simbol PN. Ini telah kita sepakati. Insya-Allah, mulai sekarang sampai penghujung PRU15…nak lihat bendera PN berkibar di seluruh negara,” katanya. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen