EKSPORT Korea Selatan mencatatkan penurunan pada Oktober, penyusutan kali pertama dalam tempoh dua tahun berikutan permintaan global yang lembab di tengah-tengah peningkatan inflasi dan kelembapan ekonomi, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenagapada Selasa.
Agensi berita Yonhap melaporkan, negara itu juga mengalami defisit perdagangan untuk bulan ketujuh berturut-turut apabila import meningkat ekoran harga tenaga global yang tinggi, mencetuskan kebimbangan terhadap momentum pertumbuhannya.
Eksport berjumlah AS$52.48 bilion bulan lepas, turun 5.7 peratus daripada AS$55.7 bilion setahun sebelumnya, menurut data yang dikumpul oleh kementerian itu.
Ia merupakan penyusutan tahun pertama sejak penurunan 3.6 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2020.
Import negara meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun kepada AS$59.18 bilion pada Oktober berikutan harga tenaga global yang tinggi, mengakibatkan defisit perdagangan sebanyak AS$6.7 bilion.
Import melebihi eksport sejak April, kali pertama sejak 1997 negara itu mencatat defisit perdagangan selama tujuh bulan berturut-turut.
Korea Selatan bergantung kepada import untuk kebanyakan keperluan tenaganya dan import tenaga negara itu melonjak 42.1 peratus tahun ke tahun kepada AS$15.53 bilion pada Oktober.
“Penurunan eksport berlaku di tengah-tengah perang berpanjangan antara Rusia dan Ukraine dan kelembapan ekonomi global berikutan pengetatan monetari oleh negara-negara utama,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Mengikut negara, eksport ke China, rakan dagangan nombor satu Korea Selatan, susut 15.7 peratus kepada AS$12.16 bilion bulan lepas manakala penghantaran ke negara anggota Asean turun 5.8 peratus kepada AS$9.22 bilion pada Oktober.
“Kami memandang serius situasi perdagangan semasa. Kami akan menggerakkan apa sahaja cara yang mungkin untuk memulihkan momentum eksport,” kata Menteri Perindustrian Lee Chang-yang.
Pada Selasa Menteri Perdagangan Ahn Duk-geun mengadakan mesyuarat tergempar mengenai eksport dengan pengeksport utama dan persatuan berkaitan untuk membincangkan langkah memulihkan momentum dan meningkatkan imbangan perdagangan.
Korea Selatan dijangka menghadapi keadaan yang lebih sukar, kata Ahn sambil memperbaharu komitmen kerajaan untuk melonggarkan peraturan, menggalakkan industri baharu dan memberi sokongan yang diperlukan untuk menyokong eksport. – Bernama, 1 November, 2022.
Komen