.jpg)
KEPADA pihak berkuasa, para agamawan dan pemimpin Malaysia yang dihormati.
Saya menulis kerana ingin meluahkan reaksi saya kepada satu serbuan yang telah dilakukan di REXKL, sebuah pusat acara di ibu kota pada malam sambutan harı Halloween Sabtu lepas.
Serbuan tersebut menurut laporan telah dijalankan oleh tiga pihak iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Bahagian Narkotik, menyaksikan seramai 20 orang ahli komuniti LGBTQA terutamanya yang beragama Islam dari bangsa Melayu, serta “berpakaian menyerupai wanita” – dalam definisi yang paling ringkas kerana ada yang ditahan hanya mengenakan anting-anting, ditahan dan dibawa ke pejabat penguatkuasa menaiki kenderaan polis.
Menurut laporan juga, remaja-remaja lelaki ini ditahan kerana berkelakuan menyalahi Seksyen 35 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 iaitu ‘kelakuan yang menggalakkan maksiat’, dan jika sabit kesalahan mereka berdepan dengan hukuman saman dan penjara.
Selain itu, mereka dikehendaki untuk menghadiri sesi kaunseling di JAWI dengan harapan agar sesi kaunseling ini dapat mengubah kelakuan mereka ke arah yang lebih mesra agama.
Pihak penganjur acara juga telah disoal siasat walaupun mereka telah mendapatkan segala permit yang berkaitan until penganjuran acara itu. Antara mereka adalah teman-teman serta adik-adik saya dalam industri kreatif yang berbakat besar dan bakal mengharumkan nama negara dalam pelbagai arena.
Apa yang membuatkan saya terpanggil untuk menulis surat ini adalah apabila saya membaca beberapa pengakuan di media sosial daripada mereka yang ditahan secara salah ataupun terlibat secara langsung dengan pemeriksaan pihak berkuasa tatkala mereka masih lagi dałam persalinan Halloween.
Sebagai anak-anak remaja yang masih lagi mencari diri, pengalaman tersebut tentunya begitu traumatik dan amat menakutkan. Pelbagai persoalan pasti timbul di dalam benak dan fikiran mereka.
Jika pihak autoriti, para agamawan dan pemimpin Malaysia masih lagi tidak faham — yang sekaligus menunjukkan betapa anda semua amat ‘out of touch’ dengan situasi semasa, saya akan senaraikan di sini contoh persoalan tersebut yang mungkin hadir tatkala mereka dilayan sebegitu rupa:
“Apakan kesalahan yang aku lakukan sehingga diancam oleh pihak berkuasa sedangkan keselamatan aku yang perlu dijaga?
“Beginikan penerimaan negara yang aku cintai terhadapku?”
“Beginikah persepsi agama terhadap diriku sedangkan aku masih lagi umat Allah dan percaya dengan limpah kurnia, balasan serta kasih sayangNya?”
“Masihkah ada lagi harapan buat aku di negara ini yang sanggup memalukan aku di hadapan rakan-rakanku dari bangsa lain?”
Persoalan-persoalan ini bukanlah perkara enteng yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan buruk antaranya seperti berikut:
- Tekanan dan gangguan kesihatan mental akibat trauma.
- Gejala bunuh diri yang lahir dari tekanan dan gangguan kesihatan mental.
- Kebencian kepada negara dan agama sendiri kerana sering dianaktiri.
- Meninggalkan Malaysia justeru menyumbang kepada permasalahan ‘brain drain’ negara yang jarang ingin dibincangkan oleh para pemimpin negara.
Dari apa yang saya perhatikan, acara tersebut merupakan satu arena kreatif di mana anak-anak muda yang menghadirinya rata-rata inginkan satu platform ekspresi diri.
Mereka bukanlah penjenayah, bukan pembunuh, tidak merompak, jauh sekali terbabit dengan aktiviti menyeleweng duit rakyat dan sama sekali tidak bertindak mengganggu ketenteraman.
Untuk satu malam, apa yang meraka inginkan adalah satu ‘outlet’ untuk dilihat dalam persalinan unik yang mewakili apresiasi mereka terhadap dunia fesyen, muzik dan cabang seni kreatif lain yang terlibat.
Tindakan para autoriti serta pegawai-pegawai jabatan agama (pak-pak ulama ‘self proclaimed’) yang terlibat di dalam operasi serbuan tersebut sepatutnya tidak berlaku. Adakah ia semata-mata operasi mencukupkan KPI hujung tahun? Ataupun sandiwara menjelang pilihanraya untuk mengumpan undi para pengundi konservatif dan Islamis?
Wallahualam, Tuhan saja yang mengetahui tujuan operasi tersebut.
Saya terfikir tentang sifat ‘empati’ dalam kepimpinan. Menurut kamus, perkataan ‘empati’ merujuk kepada daya menyelami dan memahami peraşaan atau emosi orang lain, perasaan simpatetik dan initiatif untuk mengambilkira perspektif orang lain.
Sesungguhnya sifat ‘humanity’ inilah yang masih kurang dalam pentadbiran negara ini.
Sifat empati bagaikan sesuatu yang eksklusif, elitis dan hanya dikhaskan kepada ahli politik atau pemimpin negara yang terlibat dengan rasuah, yang terang-terang menyalahguna wang rakyat (termasuk duit zakat, duit rumah anak yatim dan sebagainya) serta kepada mereka yang mempunyai kuasa.
Tanpa kuasa, amat susah untuk pentadbir negara ini menunjukkan sebarang sifat empati terutamanya kepada golongan minoriti yang sejujurnya adalah golongan yang paling memerlukan perlindungan.
Mungkin pihak autoriti, para ulama dan pemimpin negara akan menimbulkan isu moraliti. Bahawa acara tersebut perlu dihentikan dan komuniti LGBTQA ini perlu ditahan untuk dijadikan teladan kepada ahli-ahli komuniti yang lain dengan alasan ‘ini adalah contoh moraliti dan kelakuan yang jahat, bersifat jahiliah dan dihalang sama sekali di sisi agama’.
Senang jika kita namakan saja mereka ini kumpulan pengawas moral atau ‘moral police’ yang memberikan tugas kepada diri mereka sendiri untuk mengawal orang awam terutamanya yang beragama Islam sedangkan mereka tidak mempunyai hak langsung untuk berbuat demikian.
Ini adalah satu contoh penyalahgunaan agama secara berbahaya. ‘Moral police’ ini wujud di negara-negara ekstremisme dan fanatik Islam seperti di Iran, Libya dan negara-negara Timur Tengah, dan kini juga wujud di Malaysia.
Dalam terminologi Syariah, sikap ekstrem disebut ‘ghuluw’ yang bermakna berlebih-lebihan dalam suatu perkara. Atau bersikap ekstrem pada satu masalah dengan melampaui batas yang telah disyariatkan.
Beberapa istilah lain yang mempunyai makna serupa dengan ghuluw antara lain adalah ‘tanattu’ (sikap yang keras), ‘ifrat’ (mempersempit), ‘tashaddud’ (menyusah sesuatu) atau ‘takalluf’ (memaksakan diri).
Sikap melampau ini mempunyai beberapa ciri antaranya fanatik kepada sesuatu pandangan, berprasangka buruk terhadap orang lain dan terlalu mudah mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan pandangan mereka.
Kepada pihak autoriti, para agamawan dan pihak pentadbir negara. Saya percaya bukan mudah untuk menjadi pemerintah lebih-lebih lagi menyandang kuasa dan bertanggungjawab memastikan keharmonian dan keselamatan rakyat negara ini sentiasa terjaga.
Anda semua hanya inginkan yang terbaik buat kami dan dengan itu, segala yang dilakukan adalah di atas premis memberikan khidmat untuk negara dan agama serta menjunjung Perlembagaan serta undang-undang negara yang telah termaktub. Besar tanggungjawab ini. Kami faham.
Namun janganlah sekali-kali menggunakan kuasa tersebut tanpa sebarang sifat empati, dan yang paling penting sekali, usahlah menggunakan alasan keagamaan serta Islamik sebagai jalan mudah menyokong tindakan yang tidak langsung mewakili sifat-sifat universal hormat-menghormati dan toleransi di dalam Islam.
Akhir sekali, pesanan saya kepada pihak autoriti juga agar mereka yang melaksanakan serbuan berciri Islamik untuk berhenti menggunakan respons “Kerana Malaysia adalah negara Islam” atau “Because Malaysia is an Islamic state”, sekiranya ditanya oleh mangsa serbuan mengapa aktiviti mereka diserbu dan seterusnya terjadinya penahanan.
Untuk mendidik orang lain, kita juga perlu ada pengetahuan - jangan main belasah sahaja. Bagaikan meludah ke langit, terpalit ke muka sendiri. Terutama sekali jika pihak autoriti dan para agamawan ini ditanya oleh rakyat bukan beragama Islam ataupun berbangsa asing.
Tanamkanlah sifat malu pada diri sendiri jika kita tidak bersedia sebelum menggerakkan sesuatu inisiatif.
Tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja mewakili diri sendiri dan badan autoriti yang relevan, malah juga pihak kerajaan dan sistem pendidikan negara. Malaysia bukanlah negara Islam. Malaysia juga bukan negara sekular. Negara ini mempunyai sistem undang-undang hibrid atau plural.
Jika benar Malaysia adalah negara Islam, maka mereka yang mengamalkan rasuah sudah pasti dihukum takzir yang diniatkan untuk mendidik (denda, sebatan, dipecat dari jawatan dan sebagainya) dan ramai juga yang dipotong tangan kerana mencuri.
Namun masih ramai lagi yang terus aktif berpolitik dan bebas kesana sini melaungkan manifesto mereka.
Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Tuhan, dan segala kekurangan dari saya sendiri.– 1 November, 2022.
* Muhammad Nizam (JC) / Kuala Lumpur / Peguam & Penasihat Perhubungan Awam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen